Tuesday 21 June 2016

Penantian Honda RS150R terjawab

SELEPAS Indonesia dan Vietnam, pengedar rasmi motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda terus melebarkan sayapnya apabila meletakkan Malaysia sebagai destinasi ketiga pelancaran model kapcai yang diberi nama RS150R.

Hadir dalam dua varian dan empat warna iaitu, Merah, Repsol, Biru Matte dan Hitam Matte jentera terbaharu Honda  RS150R merupakan model sporty pertama dalam kategori Cub mewah yang menawarkan kapasiti enjin 150cc.


DINANTIKAN PEMINAT

Fungsi dan reka bentuk motosikal ini sememangnya dinantikan peminat Honda apabila ia menggabungkan tiga perkara utama iaitu bentuk badan agresif, bentuk muka dan lampu yang tajam serta rangka badan yang berlapis. Melengkapkan imej itu, lampu utama RS150R didatangkan dengan ciri LED.

Kesemua aspek ini telah dirangka dan dilaksanakan pada RS150R untuk kelihatan lebih ganas. Rangka dalaman unik yang memperlihatkan dengan jelas bahawa reka bentuk dan fungsi digandingkan dengan berkesan.

Honda RS150R dijana oleh enjin 149.16 cc penyejuk-cecair, empat-injap DOHC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 15.6 hp pada 9,000 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm. Penghantaran kuasa lancar  ke roda  belakang ditugaskan kepada  kotak gear enam-kelajuan.


KAPCAI SEMPURNA

Model moped ini menawarkan kestabilan yang maksimum hasil penggunaan suspensi teleskopik di bahagian hadapan dan monoshock di belakang. Melengkapkan ciri berkenaan, RS150 didatangkan dengan bentuk kerangka tiub berkembar.

Kuasa membrek diserahkan kepada cakera hidraulik hadapan dan belakang berukuran 296 milimeter (mm) dan 190 mm.

Selain itu, dengan berat 123 kilogram dan ketinggian tempat duduk 764 mm memberikan kelebihan buat penunggang ketika pengendalian di bandar.  Kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.5 liter.

Ditawarkan pada harga (termasuk GST) RM8,213.94 bagi varian standard dan RM8,377.94 untuk Advance, Honda RS150R 2016 boleh didapati di pengedar Honda seluruh negara mulai Ogos. Boon Siew Honda mensasarkan jualan sebanyak 2000 unit sebulan.


PELUANG LUAS PASARAN

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda, Nobuhide Nagata berkata, jentera baharu Honda ini telah diperkenalkan dalam kategori harga yang lebih tinggi untuk meluaskan peluang pasarannya.

“Melalui pengenalan produk baharu,  kita dapat membuat perubahan positif dari segi perkongsian pasaran kami berbanding tahun lepas,” katanya.

Pelancaran RS150R ini juga menjelaskan banyak perkara mengenai apa yang Boon Siew Honda ingin lakukan pada masa hadapan untuk mengembangkan industri pembuatan motosikal di Malaysia.

Jentera baharu ini juga memperlihatkan kesungguhan Boon Siew Honda untuk menakluki setiap lingkungan segmen motosikal selepas melancarkan Wave Alpha (Club harga rendah) dan Wave Dash (Club harga pertengahan) sebelum ini.


SPESIFIKASI HONDA RS150R
Enjin: DOHC, empat stroke
Sesaran : 149.16cc
Transmisi: Enam kelajuan
Kuasa maksimum: 15.6hp @ 9,000rpm
Tork maksimum: 13.5Nm @ 6,500rpm
Kapasiti tangki: 4.5 Liter
Harga : RM8,213.94 (termasuk GST).



--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...