Wednesday 19 February 2014

NSS 300: Lengkapkan rangkaian produk Honda



PENGEDAR utama motosikal Honda, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) memperkenalkan motosikal automatik NSS300 dalam rangkaian produk yang ditawarkan dalam negara.

Pengenalan motosikal segmen skuter kapasiti sederhana - NSS300 sedikit mengejutkan di mana sebelum ini tidak ramai yang menjangkakan model tersebut akan dibawa ke dalam pasaran tempatan.

Mungkin Honda sengaja mengambil kesempatan di atas keputusan Kawasaki untuk tidak menawarkan skuter J300 di dalam pasaran domestik, tetapi hanya ditawarkan di negara Eropah.

Persaingan Honda mungkin nampak mudah tanpa kelibat Kawasaki J300, tetapi mereka tidak seharusnya mengetepikan potensi pengeluar motosikal automatik lain seperti pengeluar Korea - Kymco dan SYM.

Pada hari ini, motosikal berjenis automatik lebih praktikal dijadikan sebagai kenderaan seharian.

Bukan sahaja sifat kegunaannya yang mudah, tetapi juga menawarkan ruang simpan dan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

Penggunaan skuter tidak terhad hanya di bandar, tetapi ada sebahagian daripada pengguna skuter aktif mengembara secara santai pada hujung minggu seperti mana pengguna motosikal lain.

Daripada segi reka bentuk motosikal, ia mempunyai konsep yang hampir sama seperti Honda PCX150.

Honda NSS300 tampil dengan gaya sofistikated yang digabungkan dengan prestasi tangkas, ergonomik dan mempunyai nilai tambah kepada pemilikannya.

Model terbaharu Honda ini menerima unit lampu hadapan yang direka lebih besar, tempat duduk lebih selesa dan bentuk badan tirus untuk ciri aerodinamik.

Papan instrumentasi NSS300 atau dikenali sebagai Forza komprehensif dengan meter kelajuan dan takometer analog, tolok bahan api dan tolok suhu di samping paparan digital untuk bacaan jarak perjalanan, penggunaan bahan api dan masa juga perjalanan.

Jentera automatik ini dikuasakan oleh enjin 279cc sejukan cecair SOHC empat lejang. Sama seperti skuter kapasiti kecil Honda yang lain, NSS300 turut menggunakan sistem penghantaran V-Matic.

Gabungan enjin dengan sistem penghantaran teknologi Honda tersebut mampu menyediakan kuasa yang responsif untuk penggunaan di lebuh raya dan daya pecutan di dalam bandar walaupun dengan membawa pembonceng.

Skuter seberat 194 kilogram (kg) ini dikatakan mampu memecut sehingga 150 kilometer sejam (km/j) dengan mudah. NSS300 turut dibekalkan dengan sistem brek gabungan (CBS) di mana tuil brek kiri akan mengaktifkan kedua-dua brek hadapan dan belakang dalam masa yang sama.

Penawaran sistem brek tersebut berfungsi untuk menyeimbangkan tekanan brek yang dikenakan.

Mengikut data spesifikasi di atas kertas, NSS300 mampu melakukan perjalanan sejauh 350 kilometer (km) dengan isian penuh tangki bahan api sebesar 11.6 liter (L).

Tidak dapat dinafikan, Honda sememangnya cukup pakar dalam menawarkan rangkaian produk yang mempunyai kecekapan bahan api yang cemerlang.

Varian NSS300 boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Asteroid Black Metallic, Pearl Himalayas White dan Seal Silver Metallic.

Boon Siew Honda meletakkan harga RM26,768 untuk versi standard dan RM28,288 untuk versi penambahan sistem brek ABS. Ia didatangkan dengan jaminan dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...