Tuesday 29 November 2016

CB500X miliki potensi



PERMINTAAAN tinggi terhadap motosikal berkuasa tinggi dalam pasaran tempatan telah mewujudkan saingan sihat apabila Boon Siew Honda memperkenalkan jentera CB500, CB500R dan terkini CB500X.

Penulis yang berkesempatan menunggang uji jentera versi touring ini mengambil peluang dengan melalui beberapa jalan sekitar Hulu Langat, Semenyih, Mantin dan juga Seremban sebelum menguji kemampuan kuasa di laluan Lebuh Raya Utara Selatan menuju Tol Sungai Besi.


POTENSI LALUAN BERALUN

Pada pandangan pertama, gaya kembara yang ada pada model ini agak menjadi dan jelas berbeza dengan varian CB500 lain. Paruh kecil pada bahagian hadapan memang disengajakan untuk menampakkan ia seperti jentera crosstourer dan memberi imej garang.

Melabuhkan di pelana, penulis merasakan kedudukan sedikit rendah walaupun sebenarnya CB500X ini mempunyai kedudukan yang tidak begitu menunduk. Seharusnya ia menjadi tarikan bagi mereka yang inginkan kedudukan lebih santai dan tidak memenatkan, terutamanya dalam perjalanan jauh. Ditambah pula dengan karakter motosikal ini serba memudahkan, untuk penunggang motosikal yang berpengalaman mahupun yang baru ingin bermula.

Memulakan perjalanan dari Hulu Langat menuju Semenyih dan Mantin, kuasa enjin yang dijelmakan CB500X tidak menghampakan apabila enjin dan sistem gear juga berfungsi dengan sangat lancar serta memberikan tunggangan yang menyeronokkan.

Keadaan jalan yang sempit dan beralun serta selekoh, laluan ini menguji corak pengendalian. Walaupun fork hadapan sedikit lembut, prestasi keupayaan pengendaliannya baik dan sistem suspensi adalah stabil.

Enjin lancar dan sistem clutch yang ringan membuatkan CB500X mudah untuk bergerak. Dari segi kelajuaan, sememangnya ia mampu menjana 47HP dan memacu sehingga kelajuan maksimum 180 kilometer sejam (km/j) tetapi kelajuan yang dilihat paling sesuai ialah sekitar 130 -140 kmj. Pada kelajuan ini cermin pengadang dilihat mungkin perlu ditinggikan lagi kerana rintangan angin dari hadapan semakin kuat.

Menuruni cerun jalan berbukit, dalam kebanyakan masa, penulis menggunakan brek hadapan. Walaupun brek hadapan hanya dibekalkan dengan cakera 320 milimeter (mm) tunggal, ia sudah memadai.


KURANG GEGARAN

Selepas selesai menguji kemampuan beraksi di laluan kampung, CB500X diuji laluan lurus dari susur keluar Seremban menuju Sungai Besi untuk mengetahui kuasa pecutan yang mampu dijelmakan.

Kuasa dari enjin begitu sempurna, walaupun mencapai kelajuan agak tinggi (sehingga 150kmj), tidak banyak gegaran daripada bahagian enjin dirasai penunggang termasuklah pada bahagian pemegang serta peletak kaki.

Turut membantu menjadikan motosikal ini lebih stabil adalah pengadang angin yang terdapat pada bahagian depan. Walaupun tidak boleh dilaras dan tidak begitu tinggi, ia masih mencukupi untuk menjadikan tolakan angin lebih lancar. Sudah tentu, jika anda pergi lebih laju dan tidak ingin terseksa akibat angin ini, anda harus tunduk.

Dari segi keselamatan, brek depan dan belakang CB500X cukup responsif. Selain itu, pengguna juga mempunyai pilihan untuk memiliki model yang dimiliki sistem ABS.

Secara keseluruhannya, prestasi dilaluan offroad dan lurus serta bandar tidak mengecewakan dan percaya model ini mempunyai potensi yang baik dalam pasaran tempatan, namun, ia bergantung pada kepada kredibiliti pengedar jenama itu untuk memenuhi permintaan pasaran.


SPESIFIKASI HONDA CB500-X
  • Enjin: 471cc, dua silinder selari, penyejukan cecair, sistem bahan api PGM-FI
  • Transmisi: Enam kelajuan, klac basah multi, pacuan rantai
  • Kuasa maksimum: 47hp @ 8,500rpm
  • Tork maksimum: 43Nm @ 7,000rpm
  • Brek hadapan: Cakera tunggal beralun 320mm dan angkup dua piston
  • Brek belakang: cakera tunggal beralun 240mm dan angkup tunggal, sistem ABS
  • Berat: 193kg
  • Kapasiti tangki: 17.3 liter
  • Harga: RM31,988 (ABS)


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...