Wednesday 27 April 2016

Rangkaian Bonneville buat peminat Triumph


SELEPAS memperkenalkan Street Twin ke pasaran tempatan, Fast Bikes Sdn Bhd tidak menunggu lama untuk memperkenalkan rangkaian produk Bonneville buat peminat Triumph.

Bagi peminat model baharu Triumph 1,200cc, anda tidak perlu menunggu lama kerana model berkenaan sudah berada di pasaran. Pengedar rasmi Motosikal Triumph di Malaysia itu rasmi memperkenalkan  barisan model Triumph Bonneville 2016.

Tiga model tersebut ialah Triumph Bonneville T120,  Bonneville T120 Black dan Thruxton R.

Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al-Malique Hussain berkata, edisi terkini Triumph 1,200 cc itu tiba pada masa yang tepat seiring dengan pertumbuhan minat dan permintaan motosikal klasik  moden.

“Dari segi perspektif penunggang, mereka mahukan jentera yang cantik dengan watak sebenar dan nilai-nilai tradisional, digabungkan dengan tahap penghalusan dan keupayaan moden,” katanya.

Setiap model 1,200cc itu didatangkan dengan rekaan casis dan enjin yang berbeza. Tiada satu pun model yang berkongsi komponen dengan penyejukan udara Bonneville sebelum ini.

Razak berkata T120 Black sama seperti T120. Tetapi dengan perincian penggayaan berbeza.

“Sementara, model sekian lama dinantikan Thruxton R (versi tertinggi Thruxton) menampilkan brek kaliper monoblok Brembo, fork Showa, suspensi belakang Ohlins dan tayar Rosso Corsa,” katanya.

Rekaan yang tidak lapuk dan karakter ikonik model asli 1959 itu dilahirkan semula dengan penuh berkelas menerusi Bonneville T120 dan Bonneville T120 Black.

Kedua-dua model ditempa dengan perincian standard tinggi dan kemasan terakhir berkualiti. Dikuasakan enjin Bonneville 1,200cc tork tinggi, T120 mampu meraih angka tork 105Nm pada putaran enjin serendah 3,100rpm. Lebih tinggi 54 peratus berbanding generasi T100 sebelumnya. Sementara kuasanya mampu mencecah 80hp pada 6, 550rpm. Tambahan 18 peratus lebih kuasa berbanding sebelumnya.

Manakala Thruxton R menghasilkan kuasa  yang tiada tandingan. Padanan kuasa, brek, prestasi dan pengendalian menghidupkan aura legendanya.

Enjin Thruxton R menghasilkan kuasa 98hp dan tork setinggi 112Nm pada 4,950 rpm. Peningkatan 62 peratus tork lebih tinggi berbanding Thruxton terdahulu. Manakala tenaganya meningkat sebanyak 41 peratus.

Model berkenaan didatangkan dengan keupayaan moden termasuk respons pendikit dalam kadar segera menerusi sistem pancitan terus ride-by-wire dan penyejukan cecair yang menawarkan kecekapan bahan api. Sebagai tambahan, model 1,200cc itu juga menampilkan mod tunggangan untuk lebih responsif dan kawalan dipertingkatkan.

Model Bonneville T120 didatangkan dengan pilihan warna hitam, merah,  merah dan perak atau hitam dan putih. Sementara Bonneville T120 Black tentunya ditawarkan dalam warna hitam atau Matt Graphite. Tidak ketinggalan perincian penggayaan eksklusif termasuk pelana coklat, rim hitam, grab rail dan ekzos.

Harga jualan Bonneville T120 dan  T120 Black ialah RM79,900 (tanpa insurans).  

Thruxton R pula dijual pada harga RM91,900 (tanpa insurans) dengan pilihan warna merah dan perak. Model itu dilengkapi dengan pakej penggayaan penutup tangki minyak gaya Monza, ekzos up-swept dan bar cermin sisi  aluminium.

Model itu juga didatangkan dengan suspensi dan brek spesifikasi tertinggi,  yoke atas digilap,  tangki minyak dan swing-arm aluminium.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...