Wednesday 27 November 2013

Imej baharu LC135


 
Warna dan grafik baharu lebih eksotik.

Sistem kunci lebih utamakan keselamatan.

Sistem brek cakera belakang
 
DALAM diam, Yamaha mengusahakan satu lagi agenda pengukuhan dalam pasaran motosikal moped. Model popular Yamaha LC135 telah disegarkan dengan skim warna badan dan corak grafik baharu.

Kesemua warna dan corak baharu ditawarkan kepada kedua-dua varian iaitu LC135 Extreme Spirit dan LC135 Super Sport. Warna dan grafik baharu memberi sedikit kelainan dan menjadikan moped ini tampil lebih menarik.

Pilihan warna yang disediakan bagi model Super Sports ialah warna merah, putih dengan corak grafik merah-hitam, atau hitam dengan corak grafik berwarna biru. Manakala bagi varian Extreme Spirit pula menawarkan pilihan warna hitam dengan grafik keemasan, hitam dan grafik kelabu atau warna perak dengan grafik berwarna biru-hitam.

Yamaha LC135 ini juga dikenali sebagai Spark 135 di Thailand, Sniper di Filipina dan Jupiter MX di Indonesia.

Sejak diperkenalkan pada Februari 2006, Yamaha LC135 merupakan antara moped yang paling laris dalam negara.Penampilan Yamaha 135LC dengan corak dan warna baharu mencerminkan semangat, kuasa dan gaya yang mampu menarik golongan muda yang gemarkan trend terkini.

Motosikal moped 135cc ini didatangkan dalam varian auto klac Super Sports bagi mereka yang mahukan kuasa dan keseronokan menunggang. Manakala varian Extreme Spirit yang didatangkan dengan klac tangan khas buat mereka yang gemarkan lonjakan kuasa tambahan.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin empat lejang  135cc sejukan cecair.  Perbezaan antara dua varian tersebut adalah daripada aspek kotak gear, klac, ratio gear, kuasa enjin dan sistem brek belakang.

LC Super Sport menggunakan kotak gear empat kelajuan berbanding varian Extreme Spirit yang mendapat kotak gear lima kelajuan. Pada awal pengenalan model empat lejang, ramai juga pengguna motosikal merungut kerana tidak mempunyai klac tangan.

Tidak lama kemudian, Yamaha telah memperkenalkan varian Extreme Spirit yang menawarkan sistem klac tangan walaupun menggunakan enjin yang sama.

Namun begitu, sedikit perbezaan daripada segi kuasa enjin. Enjin LC135 Super Sport mengeluarkan 8.93 kW pada kitaran enjin 8500 rpm (12.14 kuasa kuda), manakala varian Extreme Spirit pula mempunyai 9.2kW (12.51 kuasa kuda) pada 8500 rpm.

Jumlah tork kedua-dua varian juga berbeza di mana LC135 Super Sport mempunyai tork berjumlah 11.79Nm pada 5,500rpm dan varian Extreme Spirit mempunyai tork berjumlah 12Nm pada 6,000rpm. Sistem brek cakera hanya dibekalkan kepada versi Extreme Spirit sahaja.

Kedua-dua model dilengkapi dengan penghidup tendang dan sistem penghidup elektrik secara standard.

Selain itu, kedua-duanya dilengkapi dengan sistem suspensi monocross,  penangkis dalaman bahagian roda belakang,  lampu belakang dengan lensa berkabus, penggunaan silinder DiASil dan omboh tempaan, sistem karburator BS dengan Throttle Positioning Sensor (TPS), rim ringan yang lebih lebar dan brek cakera hadapan berdiameter 267 milimeter (mm).

Yamaha 135LC Extreme Spirit dijual pada harga RM6,988 manakala varian Super Sports dijual pada harga RM6,318. Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Kedua-dua varian dengan warna dan corak baharu boleh didapati di semua pengedar rasmi Yamaha di seluruh negara mulai hari ini.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...