Wednesday 31 December 2014

YAMAHA MT-07: Jentera baharu tawar keseronokan


 
YAMAHA MT-07
 
 
TIDAK lama selepas memperkenalkan MT-09, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) memperkenalkan pula MT-07 pada Shell Advance Malaysian Motorcycle GP Oktober lalu.

Memperoleh unit tunggang uji MT-07 adalah satu perkara yang ditunggu-tunggu. Sebenarnya, ia adalah kesinambungan daripada rasa puas hati penulis dengan apa yang ditawarkan MT-09 sebelum ini.

Selepas pesanan ringkas daripada wakil HLYM, penulis menerima kunci MT-07 dan akan membuktikan sejauh mana keunggulan Yamaha yang digembar-gemburkan melalui siri model MT.

Pertama kali menghidupkan enjin MT-07, bunyi jentera ini tidak terlalu menggambarkan sifat yang agresif seperti mana bentuk moden yang ditampilkan.

Yamaha MT-07 memiliki pendekatan yang lebih segar daripada Yamaha dengan menawarkan enjin silinder berkembar selari dengan kapasiti 689cc. Unit enjin yang terletak pada kerangka badan ringan jentera ini menyediakan 74 kuasa kuda.

Duduk di atas pelana rendah MT-07, penulis teringat kepada beberapa jenis motosikal yang mempunyai kapasiti yang lebih kecil. Yamaha MT-07 memiliki badan yang kompak, tidak terlalu besar dan hanya memiliki berat 179 kilogram (kg) dengan isian tangki penuh.

Posisi tunggangan jentera ini lebih tegak, tetapi sedikit menunduk ke hadapan. Sudut capaian hendal selesa dan memudahkan pengendalian ketika dalam kelajuan rendah. Melalui kawasan trafik sibuk, pengendalian MT-07 langsung tidak membebankan.

Ia seolah-olah penulis sedang menunggang motosikal 250cc dan dapat mencelah dengan baik, tidak terkial-kial mengelak cermin sisi kenderaan lain. Jentera ringan ini mempunyai penyampaian kuasa yang baik walaupun bergerak dengan perlahan.  Penulis berasakan pengaturan enjin sangat fleksibel.

Enjin berkeupayaan untuk menyediakan daya pecut daripada kitaran enjin rendah dan ia lebih memberangsangkan pada julat pertengahan. Apabila memperoleh peluang untuk memulas pendikit dengan agresif, penulis mula faham apa yang cuba dibawa Yamaha kepada MT-07. Keupayaan yang luar biasa untuk memberikan kuasa dan tork daripada enjin DOHC empat injap setiap silinder ini amat menghiburkan.

Penulis pasti, ia lebih menumpukan kepada pasaran peminat motosikal berkarakter hooligan. Padan dengan rekaannya, kuasa yang tersedia pada pendikit amat menyeronokkan.
Keupayaan memecut pada kelajuan tinggi diuji ketika melalui lebuh raya Guthrie. Penulis sedia maklum dengan keadaan lebuh raya tersebut yang beralun, tetapi keseronokan menunggang MT-07 menutup hal demikian.

Mencecah kelajuan 180 kilometer sejam (km/j), badan motosikal terasa ringan dan penulis tidak bercadang untuk pergi lebih laju daripada angka tersebut. Keadaan trafik dan permukaan jalan raya juga menjadi faktor.

Walaupun fork hadapan tidak boleh dilaraskan, tetapi ia memainkan peranan yang baik di samping sokongan monoshock dengan pelarasan beban di bahagian belakang. Ketika di selekoh, penulis lebih ke hadapan untuk mendapatkan sudut dan pusat graviti yang lebih baik.

Prestasi suspensi belakang MT-07 tidak terlalu keras dan juga tidak terlalu lembut. Berbeza dengan MT-09 yang perlu mendapatkan sistem suspensi yang sedikit lebih keras untuk mendapatkan tahap pengendalian di selekoh yang lebih baik.

Respons brek cakera berkembar 282mm dengan angkup empat piston monobloc pada roda hadapan mencukupi di samping sistem brek cakera 245mm dengan angkup piston tunggal belakang. Walaupun tidak memiliki sistem ABS, jentera ini mudah dikawal ketika brek mengejut atau kecemasan.

Panel instrumen digital kompak yang disediakan memaparkan beberapa maklumat asas seperti indikator kedudukan gear, tolok bahan api, takometer dan jam.

Secara keseluruhan, penulis berpuas hati dengan apa yang ditawarkan MT-07. Setakat ini, hanya unit import sepenuhnya (CBU) yang tersedia dalam pasaran. Versi pemasangan tempatan (CKD) yang akan berada dalam pasaran pada tahun hadapan pasti menawarkan lebih nilai pembelian.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...