Sunday 14 December 2014

Supernaked Ringan!


 

SELEPAS melancarkan model Ninja 250SL yang menggantikan KR 150RR dua lejang, Kawasaki Motors Sdn Bhd (KMSB) kini menampilkan sebuah lagi model kategori supernaked agresif siri Z – Kawasaki Z250SL.

Model ini direka untuk tunggangan dalam bandar dan merupakan alternatif kepada Z250 yang sedia ada dalam pasaran.

Jentera ini menawarkan prestasi sport di samping jumlah berat badan yang minimum iaitu hanya seberat 148 kilogram (kg) – 20 kg lebih ringan daripada Z250.

Supernaked ringan ini membawa gaya dan reka bentuk siri Z yang langsing di bahagian tengah. Bahagian badan Z250 SL direka dengan padat dan lebih tirus di bahagian belakang. Lampu utama hadapan dipadankan dengan perumah rekaan baru untuk menyerlahkan karakter sport Z250SL.

Paparan instrumen digital terletak di bahagian tengah motosikal disediakan untuk memberi informasi bar takometer digital, meter kelajuan digital, odometer, jam dan indikator bahan api dengan latar warna oren.

Jentera naked kecil tersebut dikuasakan oleh enjin 249cc silinder tunggal empat lejang DOHC dengan sistem suntikan bahan api.

Enjin yang terletak di tengah-tengah kerangka trellis dikatakan mampu menghasilkan tork pertengahan yang lebih baik serta memberikan putaran enjin yang lebih cepat untuk menghasilkan rpm yang tinggi.

Selepas majlis pelancaran, KMSB menyediakan 24 unit Z250SL kepada beberapa pihak media untuk menguji keupayaan dan praktikaliti kegunaan model tersebut.


Tunggangan pertama

Pertama kali duduk di atas Z250SL, saya mendapati kedudukan tunggangan tidak ubah seperti jentera dua lejang Ninja KR150 RR. Posisi tunggangan tidak terlalu tegak dan tidak terlalu membongkok. Bagi saya, ia menepati kehendak sasaran pasaran jentera ini.

Pelana motosikal agak nipis tetapi memadai untuk menyediakan keselesaan buat saya. Cuma, saya terfikir akan keselesaan penunggang yang bertubuh gempal, mungkin sedikit terbatas.

Kawasaki Z250 SL ringan dan mudah untuk dikendalikan. Bar hendal yang lebih lebar bersambung kepada fork teleskopik 37 milimeter (mm) untuk menyediakan keupayaan pengendalian yang lebih stabil.

Seperti mana-mana model Kawasaki, pengaturan gear enam kelajuan Z250 SL lancar dan cukup mudah dikendalikan.

Walaupun jentera ini ringan, kuasa yang tersedia adalah bersesuaian dengan jumlah berat motosikal.

Sepanjang tunggangan, tindak balas pendikit adalah wajar dan pengagihan kuasa enjin sempurna di setiap julat. Prestasi enjin silinder tunggal memuaskan dan menyeronokkan terutamanya di dalam bandar.

Setakat ini, saya amat menghargai ciri-ciri ergonomik, tahap prestasi dan ketangkasan pengendalian Z250 SL. Saya bersetuju dengan kenyataan KMSB yang mengatakan jentera ini sangat sesuai dijadikan sebagai motosikal permulaan, penunggang wanita dan sesiapa yang berhasrat untuk menaik taraf daripada kapcai dan skuter.

Kawasaki Z250 SL ditawarkan dalam dua pilihan warna; hitam dan oren. KMSB menetapkan harga jualan pada RM15,739 berserta jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer.


Spesifikasi Kawasaki Z250 SL
Enjin: 249cc silinder tunggal empat lejang DOHC
Transmisi: 6-kelajuan
Kuasa maksimum: 27.6 hp @ 9,700 rpm
Tork maksimum: 22.6 Nm @ 8,200 rpm
Harga: RM15,739


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...