Monday 7 November 2016

Ducati pertaruh lima model



Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Sempena menyambut ulang tahun ke-90 Ducati, pengedar dan pengimport jenama terkenal di negara ini, Next Bike Sdn Bhd melancarkan lima model 2016 yang secara langsung turut memeriahkan lagi perlumbaan Shell Malaysia MotoGP tahun ini.

Antara model dilancarkan ialah Superbike 959 Panigale, Hypermotard 939, Monster 1200R, Multistrada 1200 Enduro dan XDiavel.

Kehadiran lima model berkuasa tinggi itu melengkapkan barisan jentera dua roda jenama Itali itu selain menawarkan lebih pilihan kepada penggemar motosikal di negara ini.

Berikut adalah lima model terbaharu yang dilancarkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin di EX8, Subang Jaya, baru-baru ini.

Ducati Hypermotard 939

Model Hypermotard 939 boleh didapati dalam versi Hypermotard 939 SP yang menawarkan gabungan tunggangan sport dan versatiliti termasuk prestasi mengagumkan di litar manakala Hyperstrada 939 sangat praktikal untuk tunggangan harian serta perjalanan jarak sederhana.

Model ini menggunakan enjin Testastretta yang menyalurkan 113hp dengan peningkatan daya kilas sehingga 11 peratus berbanding model sebelumnya. Antara ciri terbaru ialah sistem ekzos lebih panjang selain pelindung tangan dilengkapi lampu isyarat LED dan indikator gear pada meter kelajuan.

Hanya didapati dengan warna merah Ducati bersama padanan tayar Pirelli Diablo Rossa II yang dijual pada harga RM70,999 tanpa insurans.

Ducati Superbike 959 Panigale

Jentera kategori ‘Supermid’ terbaru ini menerima talaan kuasa lebih baik dan menawarkan tunggangan lebih mantap sama ada di jalan raya atau litar, sama seperti ‘abangnya’ Ducati 1299 Panigale.

Menggunakan enjin silinder berkembar Superquadro bersesaran 955cc yang menghamburkan 157 kuasa kuda (hp) pada 10,500 rpm. Jentera yang didatangkan dalam dua warna iaitu merah atau putih ini berharga RM99,999 tanpa insurans.

Ducati Multistrada 1200 Enduro


Motosikal versi tunggangan jarak jauh dan lasak ini hadir dengan tangki bahan api lebih besar sehingga 30 liter, sekali gus membolehkannya dipacu sejauh 450 kilometer, dijual pada harga RM129,999 tidak termasuk insurans.

Antara pembaharuan dilakukan ialah jarak roda lebih panjang dengan 1.594 meter berbanding model terdahulu hanya 1.529 meter. Turut ditawarkan aksesori Prestasi Ducati membabitkan talaan pakej Enduro, Touring, Sport dan Urban.

Ducati XDiavel

Jentera kategori Cruiser ini memiliki 60 konfigurasi gaya tunggangan yang boleh diubah menerusi talaan peribadi melalui pemijak kaki, tempat duduk dan pemegang.

Pada masa sama, pembonceng boleh memilih tempat duduk biasa atau selesa dengan penyandar belakang. Masih menggunakan enjin Testatretta 1262 DVT dengan penalaan tork pada rpm rendah, dijual pada harga RM135,999 tanpa insurans.

Ducati Monster 1200R

Jentera Naked yang menjadi kegilaan ramai ini ditala semula supaya mampu menawarkan prestasi lebih mantap, sepadan dengan simbol ‘R’ dibawanya pada tanda harga RM139,999 tidak termasuk insurans.

Jika dibandingkan dengan Monster 1200 biasa, enjin ‘R’ menghamburkan lebih 10 peratus kuasa maksimum manakala tork melebihi 5.5 peratus. Lebih ringan sekitar 180 kilogram selain bahagian belakang menggunakan komponen gentian karbon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:04 AM


--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...