Sunday 7 August 2016

Tampil garang dan berkuasa



Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

Selepas dua tahun KTM Malaysia memperkenalkan model ‘naked’ paling berkuasanya, kini muncul varian sport touring yang memiliki prestasi sama menerusi KTM 1290 Super Duke GT.

Nampaknya, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd selaku pengedar dan pemasang KTM di Malaysia mahu menambat semula peminat segmen motosikal berkenaan di negara ini.

Sejak diperkenalkan di Pameran Motosikal Milan (EICMA) pada November 2015, sebenarnya ramai yang ternanti-nanti untuk menyaksikan sama ada model GT itu mampu menepati janji dan spesifikasinya.

Walaupun banyak mengambil ciri daripada model naked KTM 1290 SUPER DUKE R, menerusi model GT, penunggang mungkin pergi lebih jauh dan pantas kerana jentera ini berada setahap lebih tinggi dari segi kehalusan serta keselesaan.

Ia juga menjanjikan tunggangan menyeronokkan bagi pengembaraan jarak jauh yang selesa atau penggunaan harian.

Keistimewaannya terserlah apabila boleh meredah pelbagai keadaan jalan atau cuaca dengan kawalan seperti suspensi semi-aktif WP dan pilihan mod tunggangan serta dilengkapi Kawalan Tarikan Motosikal (MTC).

KTM 1290 Super Duke GT yang mula berada di bilik pameran bulan depan, dilengkapi ciri standard seperti kawalan jelajah elektronik, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), pemegang dengan ciri pemanas haba dan lampu belok LED.

Selain itu, ia dilengkapi ‘Hill Hold Control’ dan Regulasi Gelincir Motosikal berfungsi bagi menghalang roda belakang kehilangan cengkaman.

Ia menggunakan enjin dua silinder bersesaran 1,301cc yang berkeupayaan mengembara jarak jauh dengan bantuan kapasiti tangki bahan api sehingga 23 liter.

Sementara itu, Pengerusi Eurotech Manufacturer Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Badlishah Syed Putra Jamalullail berkata, pihaknya menyasarkan jualan sehingga 200 unit bagi model berkenaan sebelum hujung tahun ini dan yakin ia adalah produk terbaik.

“Dengan menggabungkan jenama KTM yang diimport sepenuhnya (CBU) dan pemasangan tempatan (CKD) di bawah satu bumbung, kami akan mengembangkan lagi rangkaian ini di seluruh negara.

“Kami mempunyai lima pengedar sebelum merancang membuka antara 10 sehingga 15 lagi sehingga hujung tahun ini,” katanya.

KTM 1290 Super Duke GT ditawarkan hanya satu varian dengan harga jualan RM125,080 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

INFO

- Enjin: 1,301cc, dua silinder, empat lejang

- Tangki bahan api: 23 liter.

- Berat: 228 kilogram

- Transmisi: enam kelajuan

- Sistem bahan api: Keihin EFI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:02 AM


--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...