Thursday 7 April 2016

Kawasaki J300 ibarat sofa berenjin


KEHADIRAN skuter berkapasiti besar di Malaysia dilihat semakin diterima baik oleh pengguna walaupun produk yang ada di pasaran hanya dari beberapa jenama dari Taiwan, Itali dan unit import terpakai dari luar negara. 

Kini, pengeluar dan pengimport rasmi jenama motosikal dari Jepun iaitu Kawasaki juga ingin menceburi segmen ‘skuter-maxi’ di Malaysia dengan taruhan J300. Bukan lagi satu rahsia, model ini dihasilkan dengan kerjasama Kymco, iaitu salah satu pengeluar skuter utama dunia. Kawasaki yakin dengan kemampuan pengeluar itu, J300 dapat membawa jenamanya dalam segmen skuter seterusnya membolehkan pemilik menikmati khidmat sokongan seperti motosikal Kawasaki yang lain.

Skuter Kawasaki J300 sudah pun berada di pusat pengedar rasmi Kawasaki. Tidak menunggu lama, pihak Kawasaki memberi peluang wakil media menunggang motosikal ini bermula dari Putrajaya ke Banting dan kemudian pulang semula ke Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd.

Perkara utama yang selalu dikaitkan dengan skuter adalah praktikaliti. Melihat kepada Kawasaki J300, markah tinggi dapat diberikan pada aspek ini dengan adanya kelengkapan seperti ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh dan barangan lain, tangki minyak 13 liter, soket pengecas 12 volt berserta tempat simpanan kecil di panel hadapan dan operasi yang mudah.

Tetapi apa yang lebih menarik perhatian wakil media yang menyertai sesi tunggang uji ini adalah keselesaan yang ditawarkan oleh Kawasaki J300, hasil kombinasi beberapa aspek.

Pertamanya tempat duduk. Selain bersaiz lebar dan besar, tempat duduk J300 mempunyai kontur bertepatan dengan bahagian sokongan di belakang penunggang manakala bahan yang digunakan pula cukup lembut membuatkan penulis begitu selesa duduk di atasnya. Tidak keterlaluan, penulis beranggapan ini adalah tempat duduk yang paling selesa pernah di rasa pada sebuah motosikal standard dari kilang.

Seterusnya adalah kualiti tunggangan dan tetapan suspensi. Bagi yang tidak biasa, jalan di sekitar Banting mempunyai permukaan yang tidak rata mungkin kerana tanah yang lembut dan lori yang banyak melaluinya. Ada bahagian, anda boleh ‘terbang’, sama ada menaiki motosikal ataupun kenderaan lain.

Bagaimanapun, semasa menaiki skuter Kawasaki J300 ini, keadaannya tidak menyakitkan bagi penunggang kerana suspensi bertindak baik menyerap hentakan dan kualiti tunggangannya juga agak bagus.  Ini seterusnya menerbitkan rasa yakin buat penulis untuk berseronok bersama skuter ini sambil menikmati sedikit ‘waktu di udara’ dan mencondongkan motosikal untuk mengambil selekoh.

Berkenaan kuasa enjin, 27.2hp yang mampu dihasilkan oleh J300 sudah mencukupi untuk kegunaan biasa. Malah ia juga bolah dipacu dengan mudah apabila ingin memotong kebanyakan kenderaan lain di atas jalan raya. Cuma menggunakan transmisi CVT, anda tidak boleh menjangkakan ia akan sampai cepat tetapi tarikannya masih terasa. Di atas lebuh raya, penulis dapati Kawasaki J300 mampu mencecah kelajuan sehingga 160 kilometer sejam dengan keadaan badan dan tunggangannya masih lagi meyakinkan dan tidak banyak gegaran. Cuma, sekiranya penghadang angin hadapan lebih tinggi, ia mungkin lebih baik bagi penunggang.

Aspek keselamatan juga tidak dilupakan bagi penunggang, di mana sistem brek yang menghasilkan kuasa henti mencukupi pada J300 ini turut ditambah baik dengan sistem ABS. Dari pengalaman penulis, cengkaman yang terhasil cukup baik, apatah lagi ia disokong oleh set tayar Maxxis yang berkualiti.

Sekiranya anda mencari motosikal yang sentiasa senang, selesa dan luas untuk ditunggang, Kawasaki J300 ini mungkin adalah jawapannya. Walaupun harganya sedikit tinggi daripada model pesaing lain, anda dapat menikmati jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer perbatuan.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...