SUZUKI SV650 mula diperkenalkan pada 1999. Ketika itu,
kehadirannya menerima sambutan menggalakkan berikutan karakternya yang
serba boleh. Tambahan imej mewakili pelbagai versi sama ada fairing dan
naked mampu menarik minat penunggang baru atau sedia ada.
Legasi SV650 berterusan selama 10 tahun. Kemudian ia digantikan dengan model Suzuki SFV650 Gladius yang lebih moden.
Terkini model SV650A diperkenalkan. Model tersebut dilancarkan ke
pasaran Eropah sekitar Mac lalu dan Suzuki Assembler Malaysia (SAM)
akhirnya memanaskan enjin apabila memperkenalkan Suzuki SV650A.
Setelah penutupan kilangnya di Prai, Pulau Pinang dan ingin memfokuskan
kepada model import (CBU), kehadiran SV650A dengan beberapa pembaharuan
sedia bersaing dengan Yamaha MT-07.
Dua pilihan warna badan ditawarkan iaitu Metallic Triton Blue (biru)
dan Pearl Mira Red (merah). Suzuki SV650A dijual pada harga jualan asas
RM38,800 seunit (tidak termasuk GST).
Berikut ialah empat perkara perlu diketahui tentang SV650A:
PENGGAYAAN
Pengayaan Suzuki SV650A adalah perkara pertama yang menjadi perhatian
kepada kebanyakan penunggang. Bingkai trellis yang menggunakan keluli
keras dan kukuh menjadi asas kekuatannya. Lampu bulat klasik menjadi
identiti SV650A. Garisan tangki diperkemas ditarik ke bawah supaya
kelihatan lebih langsing. Penampilan ekzos baharu menyumbang kepada
berat badan ringan. Lampu belakang didatangkan dengan ciri LED.
KONSEP TERAS
Keseronokkan konsep utama Suzuki SV650A ialah menunggang melalui enjin
V-twin sport. Tambahan ciri lebih ringan, langsing dan ringkas adalah
pakej yang ditawarkan oleh SV650A. Model naked itu dilengkapi oleh enjin
645cc V-twin DOHC yang diperhalusi dengan lebih 60 komponen baharu.
Penambahbaikan itu menyumbang kepada pertambahan kuasa 4hp (75bhp).
Namun, tork masih kekal iaitu 64Nm pada 8, 100rpm.
Dengan rekaan semula lebih 140 bahagian dan komponen (gabungan
bahagian enjin dan casis) menyumbang kepada berat lebih ringan menjadi
197 kilogram (kg). Berbanding sebelumnya 205kg.
Enjin V-twin menyalurkan deruman mendalam pada julat rev rendah, tork
linear pada julat-pertengahan dan tunggangan yang lancar sehingga julat
rpm tinggi dengan cara yang terkawal.
Perubahan itu membolehkan SV650A mencapai standard regulasi emisi Euro4.
KAWALAN PENGENDALIAN DIPERTINGKATKAN
Selain itu, pihak Suzuki turut menawarkan ciri elektronik yang dikemas
kini. Suzuki SV650A dilengkapi ciri baharu iaitu Low RPM Assist yang
membantu penunggang ketika memulakan tunggangan dan menunggang pada rpm
rendah. Selain itu tersedia Suzuki Easy Start yang memudahkan operasi
menghidupkan enjin.
Ketinggian pelana 785 milimeter adalah antara terendah dalam kelasnya
yang menawarkan pengendalian meyakinkan dan bonus buat penunggang
wanita.
Bahkan, SV650A menawarkan kecekapan bahan api lebih baik dengan catatan di atas kertas 3.84 liter setiap 100 kilometer.
PANEL INSTRUMEN LCD BAHARU
Suzuki memilih rekaan kluster instrumen LCD baharu yang lebih ringan
dan padat. Dengan menghapuskan penggunaan motor dan jarum mekanik
menyumbang kepada berat terkini 275 gram.
Kecerahan instrumen LCD boleh dilaras. Antara informasi yang ditawarkan
ialah speedometer, takometer, odometer, posisi gear, dua meter
perbatuan, jarak tunggangan, suhu air, penggunaan bahan api dan jam.
Lampu latar putih untuk penglihatan yang baik ketika menunggang waktu
malam.
Suzuki juga menggunakan indikator LED pada lampu isyarat, lampu tinggi,
Neutral, indikator kerosakan, ABS, dan indikator suhu coolant/lampu
tekanan minyak.
Ciri takometer berbentuk bar menampilkan fungsi peak-hold. Ia
menunjukkan rpm puncak ketika rpm sedang menurun yang membolehkan
penunggang mengenal pasti rpm puncak terakhir ketika menukar gear
rendah.
Diharapkan selepas SAM menamatkan legasi pemasangan tempatannya (CKD)
awal September di Pulau Pinang dan fokus kepada model CBU akan
menjadikan mereka lebih agresif di pasaran tempatan dan tidak terlalu
lama vakum dalam pasaran dua roda. Ini akan menjadi langkah pertama buat
SAM dalam memeriahkan lagi pasaran tempatan dengan tawaran produk yang
pelbagai dan kembali bersaing bersama jenama Jepunnya yang lain.
---- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment