Showing posts with label Honda RS150R. Show all posts
Showing posts with label Honda RS150R. Show all posts

Wednesday, 12 October 2016

RS150R serba lengkap dan sempurna


 
RS150R 
 
 
KAPCAI premium 150cc pertama dari Honda RS150R kini telah mula memenuhi jalan raya membuktikan jentera dua roda ini sememangnya dinantikan peminat Honda sedia ada mahu pun yang baharu.

Dilancarkan Ogos lalu beberapa ciri premium terdapat pada jentera ini adalah enjin DOHC 150cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 11.5kW (15.6PS) pada 9,000 rpm dan juga 13.5N/m tork maksimum pada 6,500 rpm.

Segala kuasa ini dipindahkan dengan pertolongan transmisi manual 6 kelajuan. Sistem bahan api PGM-FI (Suntikan Bahan Api Terancang) membantu dalam pergerakan jentera ini yang juga mampu menjimatkan kegunaan petrol dan juga mesra alam. Boleh dikatakan produk Boon Siew Honda terbaharu ini memiliki pakej lengkap dan sempurna bagi mereka yang sememangnya menantikan jentera kapcai 150cc.


MUDAH DIKAWAL

Itu hanyalah penerangan atas kertas dan pandangan kasar, bagaimana pula prestasi dimiliki RS150R ini adakah hanya gah pada cerita mahu pun prestasi lampau berdasarkan keluaran sebelum ini.

Penulis yang diberikan peluang menunggang uji jentera ini, minggu lalu dapat melihat  reka bentuk jentera ini sangat moden dan agresif lantas laluan ibu kota yang sibuk dengan kesesakan lalu lintas menjadi cabaran pertama.

Tahap pengawalan dan juga saiz motor ini amat sesuai untuk kawasan dalam bandar, tiada masalah untuk mengendalikan jentera dua roda ini, dengan pertukaran gear yang lancar dan peranan brek depan serta belakang memainkan peranan kapcai ini dapat mencelah antara kereta-kereta dengan senang dan berjaya mengelakkan sesakan lalu lintas.


LANCAR DAN SELESA

Selepas berjaya melepasi kesesakan lalu-lintas, laluan lebuh raya dari Tol Sungai Besi menuju Seremban menjadi cabaran seterusnya RS150R membuktikan kuasa pecutan dan kestabilan ketika memecut.

Kemampuan RS150R sememangnya terserlah ketika mencecah 9000 RPM dan bermain sehingga gear ke-6, pertukaran gear begitu lancar dan selesa. Gandingan enjin dan transmisi Honda ini berjaya membuat saya tersenyum-senyum, lebih-lebih lagi bila melihat meter rpm digital canggih yang menunjukkan kelajuan 120km/j dan posisi gear ke-6. Sangat memuaskan.

Dengan enjin DOHC, jentera ini mungkin mampu dibawa dengan lebih laju (anggaran sekitar 135km/j) tetapi pada pendapat saya, motor ini direka khas lebih untuk penggunaan optimum dari kelajuan maksimum.

Suspensi teleskopik depan dan monoshock belakang yang moden berjaya menyerap segala ketidaksempurnaan jalan raya. Tiada rasa goyang membuat penulis bertambah yakin dan senang hati dalam apa jua situasi di jalan yang lengang mahupun jalan berlekuk. Sungguh stabil.

Bagi sebuah kapcai 150cc, pakej tayar telah dipasang agak besar (90/80-17 46P untuk tayar depan dan 120/70-17 58P untuk tayar belakang) yang memberi rasa sangat selesa dan positif serta menambahkan lagi imej ‘sporty’.

Dalam tempoh lima hari bersama RS150R ini, penulis dapat merasakan bahawa cub premium pertama hasil ini adalah pakej jentera yang sangat bagus.

Prestasi agak optimum  memberikan rasa yang selesa dan pada masa sama, rupa menarik jika dibandingkan secara kasar dengan kapcai-kapcai moden yang lain.


SPESIFIKASI HONDA RS150R

ENJIN: Suntikan bahan api PGM-FI berkapasiti 150cc DOHC
KUASA MAX : 15.4hp @ 9,000rpm
TORK MAX : 13.5Nm @ 6,500rpm
TRANSMISI :  6-kelajuan
KAPASITI TANGKI :  4.5 Liter
BERAT : 123KG
SUSPENSI:  Teleskopik (depan) / Monoshock (belakang)
HARGA : RM8,213.94 hingga RM8,372.94 (termasuk GST, tanpa insurans)


--- SINAR HARIAN

Tuesday, 21 June 2016

Penantian Honda RS150R terjawab

SELEPAS Indonesia dan Vietnam, pengedar rasmi motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda terus melebarkan sayapnya apabila meletakkan Malaysia sebagai destinasi ketiga pelancaran model kapcai yang diberi nama RS150R.

Hadir dalam dua varian dan empat warna iaitu, Merah, Repsol, Biru Matte dan Hitam Matte jentera terbaharu Honda  RS150R merupakan model sporty pertama dalam kategori Cub mewah yang menawarkan kapasiti enjin 150cc.


DINANTIKAN PEMINAT

Fungsi dan reka bentuk motosikal ini sememangnya dinantikan peminat Honda apabila ia menggabungkan tiga perkara utama iaitu bentuk badan agresif, bentuk muka dan lampu yang tajam serta rangka badan yang berlapis. Melengkapkan imej itu, lampu utama RS150R didatangkan dengan ciri LED.

Kesemua aspek ini telah dirangka dan dilaksanakan pada RS150R untuk kelihatan lebih ganas. Rangka dalaman unik yang memperlihatkan dengan jelas bahawa reka bentuk dan fungsi digandingkan dengan berkesan.

Honda RS150R dijana oleh enjin 149.16 cc penyejuk-cecair, empat-injap DOHC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 15.6 hp pada 9,000 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm. Penghantaran kuasa lancar  ke roda  belakang ditugaskan kepada  kotak gear enam-kelajuan.


KAPCAI SEMPURNA

Model moped ini menawarkan kestabilan yang maksimum hasil penggunaan suspensi teleskopik di bahagian hadapan dan monoshock di belakang. Melengkapkan ciri berkenaan, RS150 didatangkan dengan bentuk kerangka tiub berkembar.

Kuasa membrek diserahkan kepada cakera hidraulik hadapan dan belakang berukuran 296 milimeter (mm) dan 190 mm.

Selain itu, dengan berat 123 kilogram dan ketinggian tempat duduk 764 mm memberikan kelebihan buat penunggang ketika pengendalian di bandar.  Kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.5 liter.

Ditawarkan pada harga (termasuk GST) RM8,213.94 bagi varian standard dan RM8,377.94 untuk Advance, Honda RS150R 2016 boleh didapati di pengedar Honda seluruh negara mulai Ogos. Boon Siew Honda mensasarkan jualan sebanyak 2000 unit sebulan.


PELUANG LUAS PASARAN

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda, Nobuhide Nagata berkata, jentera baharu Honda ini telah diperkenalkan dalam kategori harga yang lebih tinggi untuk meluaskan peluang pasarannya.

“Melalui pengenalan produk baharu,  kita dapat membuat perubahan positif dari segi perkongsian pasaran kami berbanding tahun lepas,” katanya.

Pelancaran RS150R ini juga menjelaskan banyak perkara mengenai apa yang Boon Siew Honda ingin lakukan pada masa hadapan untuk mengembangkan industri pembuatan motosikal di Malaysia.

Jentera baharu ini juga memperlihatkan kesungguhan Boon Siew Honda untuk menakluki setiap lingkungan segmen motosikal selepas melancarkan Wave Alpha (Club harga rendah) dan Wave Dash (Club harga pertengahan) sebelum ini.


SPESIFIKASI HONDA RS150R
Enjin: DOHC, empat stroke
Sesaran : 149.16cc
Transmisi: Enam kelajuan
Kuasa maksimum: 15.6hp @ 9,000rpm
Tork maksimum: 13.5Nm @ 6,500rpm
Kapasiti tangki: 4.5 Liter
Harga : RM8,213.94 (termasuk GST).



--- SINAR HARIAN

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...