KAPCAI premium 150cc pertama dari Honda RS150R kini
telah mula memenuhi jalan raya membuktikan jentera dua roda ini
sememangnya dinantikan peminat Honda sedia ada mahu pun yang baharu.
Dilancarkan Ogos lalu beberapa ciri premium terdapat pada jentera ini
adalah enjin DOHC 150cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 11.5kW
(15.6PS) pada 9,000 rpm dan juga 13.5N/m tork maksimum pada 6,500 rpm.
Segala kuasa ini dipindahkan dengan pertolongan transmisi manual 6
kelajuan. Sistem bahan api PGM-FI (Suntikan Bahan Api Terancang)
membantu dalam pergerakan jentera ini yang juga mampu menjimatkan
kegunaan petrol dan juga mesra alam. Boleh dikatakan produk Boon Siew
Honda terbaharu ini memiliki pakej lengkap dan sempurna bagi mereka yang
sememangnya menantikan jentera kapcai 150cc.
MUDAH DIKAWAL
Itu hanyalah penerangan atas kertas dan pandangan kasar, bagaimana pula
prestasi dimiliki RS150R ini adakah hanya gah pada cerita mahu pun
prestasi lampau berdasarkan keluaran sebelum ini.
Penulis yang diberikan peluang menunggang uji jentera ini, minggu lalu
dapat melihat reka bentuk jentera ini sangat moden dan agresif lantas
laluan ibu kota yang sibuk dengan kesesakan lalu lintas menjadi cabaran
pertama.
Tahap pengawalan dan juga saiz motor ini amat sesuai untuk kawasan
dalam bandar, tiada masalah untuk mengendalikan jentera dua roda ini,
dengan pertukaran gear yang lancar dan peranan brek depan serta belakang
memainkan peranan kapcai ini dapat mencelah antara kereta-kereta dengan
senang dan berjaya mengelakkan sesakan lalu lintas.
LANCAR DAN SELESA
Selepas berjaya melepasi kesesakan lalu-lintas, laluan lebuh raya dari
Tol Sungai Besi menuju Seremban menjadi cabaran seterusnya RS150R
membuktikan kuasa pecutan dan kestabilan ketika memecut.
Kemampuan RS150R sememangnya terserlah ketika mencecah 9000 RPM dan
bermain sehingga gear ke-6, pertukaran gear begitu lancar dan selesa.
Gandingan enjin dan transmisi Honda ini berjaya membuat saya
tersenyum-senyum, lebih-lebih lagi bila melihat meter rpm digital
canggih yang menunjukkan kelajuan 120km/j dan posisi gear ke-6. Sangat
memuaskan.
Dengan enjin DOHC, jentera ini mungkin mampu dibawa dengan lebih laju
(anggaran sekitar 135km/j) tetapi pada pendapat saya, motor ini direka
khas lebih untuk penggunaan optimum dari kelajuan maksimum.
Suspensi teleskopik depan dan monoshock belakang yang moden berjaya
menyerap segala ketidaksempurnaan jalan raya. Tiada rasa goyang membuat
penulis bertambah yakin dan senang hati dalam apa jua situasi di jalan
yang lengang mahupun jalan berlekuk. Sungguh stabil.
Bagi sebuah kapcai 150cc, pakej tayar telah dipasang agak besar
(90/80-17 46P untuk tayar depan dan 120/70-17 58P untuk tayar belakang)
yang memberi rasa sangat selesa dan positif serta menambahkan lagi imej
‘sporty’.
Dalam tempoh lima hari bersama RS150R ini, penulis dapat merasakan
bahawa cub premium pertama hasil ini adalah pakej jentera yang sangat
bagus.
Prestasi agak optimum memberikan rasa yang selesa dan pada masa sama,
rupa menarik jika dibandingkan secara kasar dengan kapcai-kapcai moden
yang lain.
SPESIFIKASI HONDA RS150R
ENJIN: Suntikan bahan api PGM-FI berkapasiti 150cc DOHC
KUASA MAX : 15.4hp @ 9,000rpm
TORK MAX : 13.5Nm @ 6,500rpm
TRANSMISI : 6-kelajuan
KAPASITI TANGKI : 4.5 Liter
BERAT : 123KG
SUSPENSI: Teleskopik (depan) / Monoshock (belakang)
HARGA : RM8,213.94 hingga RM8,372.94 (termasuk GST, tanpa insurans)
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment