SELEPAS Indonesia dan Vietnam, pengedar rasmi
motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda terus melebarkan
sayapnya apabila meletakkan Malaysia sebagai destinasi ketiga pelancaran
model kapcai yang diberi nama RS150R.
Hadir dalam dua varian dan empat warna iaitu, Merah, Repsol, Biru Matte
dan Hitam Matte jentera terbaharu Honda RS150R merupakan model sporty
pertama dalam kategori Cub mewah yang menawarkan kapasiti enjin 150cc.
DINANTIKAN PEMINAT
Fungsi dan reka bentuk motosikal ini sememangnya dinantikan peminat
Honda apabila ia menggabungkan tiga perkara utama iaitu bentuk badan
agresif, bentuk muka dan lampu yang tajam serta rangka badan yang
berlapis. Melengkapkan imej itu, lampu utama RS150R didatangkan dengan
ciri LED.
Kesemua aspek ini telah dirangka dan dilaksanakan pada RS150R untuk
kelihatan lebih ganas. Rangka dalaman unik yang memperlihatkan dengan
jelas bahawa reka bentuk dan fungsi digandingkan dengan berkesan.
Honda RS150R dijana oleh enjin 149.16 cc penyejuk-cecair, empat-injap
DOHC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 15.6 hp pada 9,000 rpm dan
tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm. Penghantaran kuasa lancar ke roda
belakang ditugaskan kepada kotak gear enam-kelajuan.
KAPCAI SEMPURNA
Model moped ini menawarkan kestabilan yang maksimum hasil penggunaan
suspensi teleskopik di bahagian hadapan dan monoshock di belakang.
Melengkapkan ciri berkenaan, RS150 didatangkan dengan bentuk kerangka
tiub berkembar.
Kuasa membrek diserahkan kepada cakera hidraulik hadapan dan belakang berukuran 296 milimeter (mm) dan 190 mm.
Selain itu, dengan berat 123 kilogram dan ketinggian tempat duduk 764
mm memberikan kelebihan buat penunggang ketika pengendalian di bandar.
Kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.5 liter.
Ditawarkan pada harga (termasuk GST) RM8,213.94 bagi varian standard
dan RM8,377.94 untuk Advance, Honda RS150R 2016 boleh didapati di
pengedar Honda seluruh negara mulai Ogos. Boon Siew Honda mensasarkan
jualan sebanyak 2000 unit sebulan.
PELUANG LUAS PASARAN
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda, Nobuhide
Nagata berkata, jentera baharu Honda ini telah diperkenalkan dalam
kategori harga yang lebih tinggi untuk meluaskan peluang pasarannya.
“Melalui pengenalan produk baharu, kita dapat membuat perubahan
positif dari segi perkongsian pasaran kami berbanding tahun lepas,”
katanya.
Pelancaran RS150R ini juga menjelaskan banyak perkara mengenai apa yang
Boon Siew Honda ingin lakukan pada masa hadapan untuk mengembangkan
industri pembuatan motosikal di Malaysia.
Jentera baharu ini juga memperlihatkan kesungguhan Boon Siew Honda
untuk menakluki setiap lingkungan segmen motosikal selepas melancarkan
Wave Alpha (Club harga rendah) dan Wave Dash (Club harga pertengahan)
sebelum ini.
SPESIFIKASI HONDA RS150R
Enjin: DOHC, empat stroke
Sesaran : 149.16cc
Transmisi: Enam kelajuan
Kuasa maksimum: 15.6hp @ 9,000rpm
Tork maksimum: 13.5Nm @ 6,500rpm
Kapasiti tangki: 4.5 Liter
Harga : RM8,213.94 (termasuk GST).
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment