SELEPAS memperkenalkan Street Twin ke pasaran
tempatan, Fast Bikes Sdn Bhd tidak menunggu lama untuk memperkenalkan
rangkaian produk Bonneville buat peminat Triumph.
Bagi peminat model baharu Triumph 1,200cc, anda tidak perlu menunggu
lama kerana model berkenaan sudah berada di pasaran. Pengedar rasmi
Motosikal Triumph di Malaysia itu rasmi memperkenalkan barisan model
Triumph Bonneville 2016.
Tiga model tersebut ialah Triumph Bonneville T120, Bonneville T120 Black dan Thruxton R.
Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al-Malique
Hussain berkata, edisi terkini Triumph 1,200 cc itu tiba pada masa yang
tepat seiring dengan pertumbuhan minat dan permintaan motosikal klasik
moden.
“Dari segi perspektif penunggang, mereka mahukan jentera yang cantik
dengan watak sebenar dan nilai-nilai tradisional, digabungkan dengan
tahap penghalusan dan keupayaan moden,” katanya.
Setiap model 1,200cc itu didatangkan dengan rekaan casis dan enjin yang
berbeza. Tiada satu pun model yang berkongsi komponen dengan penyejukan
udara Bonneville sebelum ini.
Razak berkata T120 Black sama seperti T120. Tetapi dengan perincian penggayaan berbeza.
“Sementara, model sekian lama dinantikan Thruxton R (versi tertinggi
Thruxton) menampilkan brek kaliper monoblok Brembo, fork Showa, suspensi
belakang Ohlins dan tayar Rosso Corsa,” katanya.
Rekaan yang tidak lapuk dan karakter ikonik model asli 1959 itu
dilahirkan semula dengan penuh berkelas menerusi Bonneville T120 dan
Bonneville T120 Black.
Kedua-dua model ditempa dengan perincian standard tinggi dan kemasan
terakhir berkualiti. Dikuasakan enjin Bonneville 1,200cc tork tinggi,
T120 mampu meraih angka tork 105Nm pada putaran enjin serendah 3,100rpm.
Lebih tinggi 54 peratus berbanding generasi T100 sebelumnya. Sementara
kuasanya mampu mencecah 80hp pada 6, 550rpm. Tambahan 18 peratus lebih
kuasa berbanding sebelumnya.
Manakala Thruxton R menghasilkan kuasa yang tiada tandingan. Padanan
kuasa, brek, prestasi dan pengendalian menghidupkan aura legendanya.
Enjin Thruxton R menghasilkan kuasa 98hp dan tork setinggi 112Nm pada
4,950 rpm. Peningkatan 62 peratus tork lebih tinggi berbanding Thruxton
terdahulu. Manakala tenaganya meningkat sebanyak 41 peratus.
Model berkenaan didatangkan dengan keupayaan moden termasuk respons
pendikit dalam kadar segera menerusi sistem pancitan terus ride-by-wire
dan penyejukan cecair yang menawarkan kecekapan bahan api. Sebagai
tambahan, model 1,200cc itu juga menampilkan mod tunggangan untuk lebih
responsif dan kawalan dipertingkatkan.
Model Bonneville T120 didatangkan dengan pilihan warna hitam, merah,
merah dan perak atau hitam dan putih. Sementara Bonneville T120 Black
tentunya ditawarkan dalam warna hitam atau Matt Graphite. Tidak
ketinggalan perincian penggayaan eksklusif termasuk pelana coklat, rim
hitam, grab rail dan ekzos.
Harga jualan Bonneville T120 dan T120 Black ialah RM79,900 (tanpa insurans).
Thruxton R pula dijual pada harga RM91,900 (tanpa insurans) dengan
pilihan warna merah dan perak. Model itu dilengkapi dengan pakej
penggayaan penutup tangki minyak gaya Monza, ekzos up-swept dan bar
cermin sisi aluminium.
Model itu juga didatangkan dengan suspensi dan brek spesifikasi
tertinggi, yoke atas digilap, tangki minyak dan swing-arm aluminium.
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment