Thursday 12 June 2014

Kawasaki lebar rangkaian 250cc



BARU-baru ini, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) melancarkan model supersports yang dikenali sebagai Kawasaki Ninja 250SL untuk melengkapkan rangkaian produk dalam pasaran Malaysia.

Tidak dinafikan ada yang tertanya-tanya bukankah pengeluar terkemuka dari Jepun itu sudah pun memiliki model supersports 250cc iaitu Ninja 250R.

Pengenalan model ini tidak menggantikan model Ninja 250R yang sedia ada dalam pasaran. Sebaliknya, pengenalan Ninja 250SL dibuat bagi memberi lebih banyak pilihan kepada peminat motosikal berkuasa 250cc.

Malah, model ini dikatakan menggantikan Ninja 150RR yang telah ditamatkan pengeluarannya pada tahun lalu.

Menurut KMSB, terma SL merujuk kepada “Slim” (ramping) dan “Lightweight” (ringan). Ninja 250SL dikuasakan enjin empat lejang dengan sesaran 249cc silinder tunggal dengan sistem sejukan cecair.

Jentera ini mampu menjana kuasa sehingga 28PS @ 9,700 rpm dan tork puncak 22.6Nm @ 8,200 rpm.

“Walaupun ciri-ciri enjin 250SL tidak sama seperti varian KR150 yang menggunakan enjin dua lejang, kami komited dan berusaha untuk memastikan prestasi enjin empat lejang kekal memuaskan,” kata Pengarah dan Pengurus Besar KMSB, Jeffrey Lim.

Enjin empat lejang sejukan cecair yang digunakan sudah terbukti pada jentera sukan lasak KLX 250. Bagi kesesuaian karakter motosikal, enjin tersebut ditala semula.

Kuasa enjin dipindahkan kepada tayar belakang melalui pacuan rantai dan transmisi enam kelajuan.

Pada hari pelancaran, pihak media diberi peluang untuk menguji prestasi Ninja 250SL.

Tunggangan pertama menunjukkan prestasi pengendalian wajar diberi pujian. Ninja 250SL ringan dan memudahkan penunggang mengalih kecenderungan masuk dan keluar di setiap selekoh.

Prestasi enjin silinder tunggal perlu dikerah secara agresif untuk menghasilkan daya pecutan yang lebih baik. Kitaran pertengahan enjin hampir sama seperti Ninja 250R dan memuaskan.

Persepsi awal kepada Ninja 250L lebih baik dengan sistem gear yang lancar dan klac ringan yang mudah dikendalikan.

Kawasaki Ninja 250SL menggunakan tayar berukuran 110/80 pada roda hadapan dan 130/70 pada roda belakang.

Jentera ini dibina di atas kerangka trellis dengan sistem suspensi fork konvensional untuk roda hadapan dan jenis monoshock di bahagian belakangnya.

Tugasan membrek pula diserahkan kepada brek cakera tunggal pada kedua-dua roda. Cengkaman brek adalah memadai bagi tahap kelajuan motosikal ini.

Jentera 250cc baharu yang diperkenalkan mudah untuk mencapai kelajuan 120 kilometer sejam (km/j). Ketika sesi tunggang uji di dalam litar ini, catatan kelajuan tertinggi yang berjaya direkodkan ialah 156 km/j.

Secara keseluruhan, model ini dilihat mampu mengekalkan dedikasi pengeluar gergasi Jepun itu dalam segmen pasaran motosikal 250cc.

Malah, tindakan Kawasaki memperkenalkan Ninja 250SL dianggap sebagai satu langkah yang proaktif sebelum KTM melancarkan dua model supersports mereka tidak lama lagi.

Ninja 250SL dibawa masuk ke pasaran tempatan secara import sepenuhnya (CBU) dari Indonesia.

Kawasaki menawarkan dua pilihan warna menarik iaitu hijau dan kuning dengan harga asas RM17,689 seunit bersama jaminan pengeluar dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km.


--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Y Suku vs RXZ

Sejauh mana populariti Ysuku dan RXZ. Kedua-dua jentera 2 roda ini ada peminat tersendiri. Keduanya dikeluarkan oleh Yahama. Y15 atau dikena...