SELEPAS sunyi tanpa berita tahun ini, Kawasaki kembali menghangatkan dunia pemotoran. Kawasaki telah menampilkan siri Z terbaharu yang pernah digembar-gemburkan untuk memasuki pasaran tanah air sejak tahun lalu.

Dengan menampilkan karakter streetfi ghter, Kawasaki Z250 tampil agresif untuk memberi variasi pilihan kepada penggemar jentera dua roda tempatan.

Selepas kejayaan model popular Z800 yang merupakan model kesinambungan kepada Z750 dan juga Z1000, Kawasaki meneruskan lagi usaha untuk menguasai pegangan pasaran motosikal.

Konsep naked Z800 versi kecil ini menggunakan platform yang sama dengan model Ninja 250R. Beberapa ciri Z250 berkongsi dengan model fairing penuh tersebut seperti kerangka, enjin, panel instrumen, fork hadapan dan juga tetapan sistem suspensi belakang.

Model Z250 dikuasakan enjin empat lejang dua silinder selari DOHC. Enjin sejukan cecair ini telah digabungkan dengan transmisi enam kelajuan.

Enjin tersebut mampu menghasilkan 32PS (31.5 kuasa kuda) pada kitaran 11,000 rpm dan menghasilkan jumlah tork maksimum sebanyak 21Nm pada kitaran 10,000rpm.

Sistem suntikan bahan api teknologi daripada Kawasaki ini akan memastikan jumlah penggunaan bahan api adalah ideal di dalam semua keadaan tunggangan.

Injap dual-throttle pula akan memastikan tindak balas lebih lancar di seluruh julat rpm.

Model ini telah dipadankan dengan set fork teleskopik 317 milimeter (mm), manakala pada bahagian belakang menggunakan sistem penyerap hentak Uni-Trak boleh laras.

Z250 dilengkapi sistem brek cakera tunggal berukuran 290mm pada bahagian hadapan dan 220mm di bahagian belakang. Kedua-dua sistem brek menggunakan kaliper piston berkembar untuk cengkaman yang lebih jitu.

Daripada aspek rekaan, Kawasaki Z250 memperlihatkan rekaan yang ergonomik untuk menjamin keselesaan tunggangan di kawasan bandar.

Rekaan lampu hadapan hampir sama dengan rekaan lampu Z800. Reka bentuk tangki minyak melengkung dan penutup enjin yang lebar membuatkan motosikal ini kelihatan lebih tegap dan garang.

Jika dilihat daripada pandangan hadapan, ia tidak ubah seperti Z800.

Kelebaran jentera ini bakal membuat ramai yang akan keliru untuk membezakan antara kedua-dua model pemasangan tempatan ini.

Peredam bunyi short style yang ditampilkan kemas dan ia direka khas untuk tidak mengganggu sudut tirus ketika mengambil selekoh.

Rim sepuluh jejari tampak sporty dan telah melengkapkan penampilan keseluruhan Z250.

Panel instrumen Ninja 250R turut digunakan kepada Z250. Ia menggabungkan takometer analog dengan skrin digital LCD pelbagai fungsi dengan warna latar menarik.

Setakat ini, pihak Kawasaki Malaysia tidak akan mengeluarkan model Special Edition (SE) seperti mana yang mereka lakukan sebelum ini kepada model Ninja 250R. Kawasaki Z250 baharu ini dilihat akan memberi saingan hebat kepada kepada motard KTM Duke 200.

Dengan tag harga RM21,589, motosikal gaya street fi ghter ini wajar diberi perhatian. Ia boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu hitam Flat Ebony, merah Candy Persimmon dan putih Pearl Stardust. Z250 didatangkan dengan jaminan setahun pengeluar atau jarak perbatuan 10,000 kilometer.


--- SINAR HARIAN