KEHADIRAN skuter berkapasiti besar di Malaysia dilihat
semakin diterima baik oleh pengguna walaupun produk yang ada di pasaran
hanya dari beberapa jenama dari Taiwan, Itali dan unit import terpakai
dari luar negara.
Kini, pengeluar dan pengimport rasmi jenama motosikal dari Jepun iaitu
Kawasaki juga ingin menceburi segmen ‘skuter-maxi’ di Malaysia dengan
taruhan J300. Bukan lagi satu rahsia, model ini dihasilkan dengan
kerjasama Kymco, iaitu salah satu pengeluar skuter utama dunia. Kawasaki
yakin dengan kemampuan pengeluar itu, J300 dapat membawa jenamanya
dalam segmen skuter seterusnya membolehkan pemilik menikmati khidmat
sokongan seperti motosikal Kawasaki yang lain.
Skuter Kawasaki J300 sudah pun berada di pusat pengedar rasmi Kawasaki.
Tidak menunggu lama, pihak Kawasaki memberi peluang wakil media
menunggang motosikal ini bermula dari Putrajaya ke Banting dan kemudian
pulang semula ke Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd.
Perkara utama yang selalu dikaitkan dengan skuter adalah praktikaliti.
Melihat kepada Kawasaki J300, markah tinggi dapat diberikan pada aspek
ini dengan adanya kelengkapan seperti ruang simpanan bawah tempat duduk
yang boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh dan barangan lain, tangki
minyak 13 liter, soket pengecas 12 volt berserta tempat simpanan kecil
di panel hadapan dan operasi yang mudah.
Tetapi apa yang lebih menarik perhatian wakil media yang menyertai sesi
tunggang uji ini adalah keselesaan yang ditawarkan oleh Kawasaki J300,
hasil kombinasi beberapa aspek.
Pertamanya tempat duduk. Selain bersaiz lebar dan besar, tempat duduk
J300 mempunyai kontur bertepatan dengan bahagian sokongan di belakang
penunggang manakala bahan yang digunakan pula cukup lembut membuatkan
penulis begitu selesa duduk di atasnya. Tidak keterlaluan, penulis
beranggapan ini adalah tempat duduk yang paling selesa pernah di rasa
pada sebuah motosikal standard dari kilang.
Seterusnya adalah kualiti tunggangan dan tetapan suspensi. Bagi yang
tidak biasa, jalan di sekitar Banting mempunyai permukaan yang tidak
rata mungkin kerana tanah yang lembut dan lori yang banyak melaluinya.
Ada bahagian, anda boleh ‘terbang’, sama ada menaiki motosikal ataupun
kenderaan lain.
Bagaimanapun, semasa menaiki skuter Kawasaki J300 ini, keadaannya tidak
menyakitkan bagi penunggang kerana suspensi bertindak baik menyerap
hentakan dan kualiti tunggangannya juga agak bagus. Ini seterusnya
menerbitkan rasa yakin buat penulis untuk berseronok bersama skuter ini
sambil menikmati sedikit ‘waktu di udara’ dan mencondongkan motosikal
untuk mengambil selekoh.
Berkenaan kuasa enjin, 27.2hp yang mampu dihasilkan oleh J300 sudah
mencukupi untuk kegunaan biasa. Malah ia juga bolah dipacu dengan mudah
apabila ingin memotong kebanyakan kenderaan lain di atas jalan raya.
Cuma menggunakan transmisi CVT, anda tidak boleh menjangkakan ia akan
sampai cepat tetapi tarikannya masih terasa. Di atas lebuh raya, penulis
dapati Kawasaki J300 mampu mencecah kelajuan sehingga 160 kilometer
sejam dengan keadaan badan dan tunggangannya masih lagi meyakinkan dan
tidak banyak gegaran. Cuma, sekiranya penghadang angin hadapan lebih
tinggi, ia mungkin lebih baik bagi penunggang.
Aspek keselamatan juga tidak dilupakan bagi penunggang, di mana sistem
brek yang menghasilkan kuasa henti mencukupi pada J300 ini turut
ditambah baik dengan sistem ABS. Dari pengalaman penulis, cengkaman yang
terhasil cukup baik, apatah lagi ia disokong oleh set tayar Maxxis yang
berkualiti.
Sekiranya anda mencari motosikal yang sentiasa senang, selesa dan luas
untuk ditunggang, Kawasaki J300 ini mungkin adalah jawapannya. Walaupun
harganya sedikit tinggi daripada model pesaing lain, anda dapat
menikmati jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer perbatuan.
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment