Wednesday, 27 April 2016

Rangkaian Bonneville buat peminat Triumph


SELEPAS memperkenalkan Street Twin ke pasaran tempatan, Fast Bikes Sdn Bhd tidak menunggu lama untuk memperkenalkan rangkaian produk Bonneville buat peminat Triumph.

Bagi peminat model baharu Triumph 1,200cc, anda tidak perlu menunggu lama kerana model berkenaan sudah berada di pasaran. Pengedar rasmi Motosikal Triumph di Malaysia itu rasmi memperkenalkan  barisan model Triumph Bonneville 2016.

Tiga model tersebut ialah Triumph Bonneville T120,  Bonneville T120 Black dan Thruxton R.

Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al-Malique Hussain berkata, edisi terkini Triumph 1,200 cc itu tiba pada masa yang tepat seiring dengan pertumbuhan minat dan permintaan motosikal klasik  moden.

“Dari segi perspektif penunggang, mereka mahukan jentera yang cantik dengan watak sebenar dan nilai-nilai tradisional, digabungkan dengan tahap penghalusan dan keupayaan moden,” katanya.

Setiap model 1,200cc itu didatangkan dengan rekaan casis dan enjin yang berbeza. Tiada satu pun model yang berkongsi komponen dengan penyejukan udara Bonneville sebelum ini.

Razak berkata T120 Black sama seperti T120. Tetapi dengan perincian penggayaan berbeza.

“Sementara, model sekian lama dinantikan Thruxton R (versi tertinggi Thruxton) menampilkan brek kaliper monoblok Brembo, fork Showa, suspensi belakang Ohlins dan tayar Rosso Corsa,” katanya.

Rekaan yang tidak lapuk dan karakter ikonik model asli 1959 itu dilahirkan semula dengan penuh berkelas menerusi Bonneville T120 dan Bonneville T120 Black.

Kedua-dua model ditempa dengan perincian standard tinggi dan kemasan terakhir berkualiti. Dikuasakan enjin Bonneville 1,200cc tork tinggi, T120 mampu meraih angka tork 105Nm pada putaran enjin serendah 3,100rpm. Lebih tinggi 54 peratus berbanding generasi T100 sebelumnya. Sementara kuasanya mampu mencecah 80hp pada 6, 550rpm. Tambahan 18 peratus lebih kuasa berbanding sebelumnya.

Manakala Thruxton R menghasilkan kuasa  yang tiada tandingan. Padanan kuasa, brek, prestasi dan pengendalian menghidupkan aura legendanya.

Enjin Thruxton R menghasilkan kuasa 98hp dan tork setinggi 112Nm pada 4,950 rpm. Peningkatan 62 peratus tork lebih tinggi berbanding Thruxton terdahulu. Manakala tenaganya meningkat sebanyak 41 peratus.

Model berkenaan didatangkan dengan keupayaan moden termasuk respons pendikit dalam kadar segera menerusi sistem pancitan terus ride-by-wire dan penyejukan cecair yang menawarkan kecekapan bahan api. Sebagai tambahan, model 1,200cc itu juga menampilkan mod tunggangan untuk lebih responsif dan kawalan dipertingkatkan.

Model Bonneville T120 didatangkan dengan pilihan warna hitam, merah,  merah dan perak atau hitam dan putih. Sementara Bonneville T120 Black tentunya ditawarkan dalam warna hitam atau Matt Graphite. Tidak ketinggalan perincian penggayaan eksklusif termasuk pelana coklat, rim hitam, grab rail dan ekzos.

Harga jualan Bonneville T120 dan  T120 Black ialah RM79,900 (tanpa insurans).  

Thruxton R pula dijual pada harga RM91,900 (tanpa insurans) dengan pilihan warna merah dan perak. Model itu dilengkapi dengan pakej penggayaan penutup tangki minyak gaya Monza, ekzos up-swept dan bar cermin sisi  aluminium.

Model itu juga didatangkan dengan suspensi dan brek spesifikasi tertinggi,  yoke atas digilap,  tangki minyak dan swing-arm aluminium.


--- SINAR HARIAN

Thursday, 14 April 2016

Warna baharu Yamaha R25


 

HONG Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) memperkenalkan warna baharu bagi model Yamaha R25. Menerusi pengenalan warna biru dan kelabu matt itu, warna lama merah dan biru sudah dihentikan pengeluarannya.

Sudah pun berada di pasaran, harga jualan selepas GST R25 ialah RM20,630.78 (tanpa cukai jalan, nombor pendaftaran dan insurans).

Yamaha YZF-R25 menggunakan enjin Diasil silinder dua sebaris, DOHC, lapan injap dengan sistem penyejukan cecair. Sportbike 250cc itu mampu menghasilkan kuasa 26.5kW pada 12,000 rpm dan tork 22.6Nm pada 10,000rpm.

Penghantaran kuasa lancar ke roda ditugaskan kepada kotak gear enam kelajuan.

Keselesaan tunggangan diserahkan kepada suspensi teleskopik di hadapan dan monocross di belakang. Dengan reka bentuk badan yang ringan bersama titik graviti sempurna, nisbah berat kuasa berada pada tahap yang terbaik.

Model R25 begitu mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan dan negara jiran kerana penampilannya yang agresif. Lampu hadapan yang unik dengan penggayaan ala pemangsa memberikan rupa yang tajam.
Sementara lampu belakang LED super sport memberikan rupa moden dan sporty.


--- SINAR HARIAN

Thursday, 7 April 2016

Kawasaki J300 ibarat sofa berenjin


KEHADIRAN skuter berkapasiti besar di Malaysia dilihat semakin diterima baik oleh pengguna walaupun produk yang ada di pasaran hanya dari beberapa jenama dari Taiwan, Itali dan unit import terpakai dari luar negara. 

Kini, pengeluar dan pengimport rasmi jenama motosikal dari Jepun iaitu Kawasaki juga ingin menceburi segmen ‘skuter-maxi’ di Malaysia dengan taruhan J300. Bukan lagi satu rahsia, model ini dihasilkan dengan kerjasama Kymco, iaitu salah satu pengeluar skuter utama dunia. Kawasaki yakin dengan kemampuan pengeluar itu, J300 dapat membawa jenamanya dalam segmen skuter seterusnya membolehkan pemilik menikmati khidmat sokongan seperti motosikal Kawasaki yang lain.

Skuter Kawasaki J300 sudah pun berada di pusat pengedar rasmi Kawasaki. Tidak menunggu lama, pihak Kawasaki memberi peluang wakil media menunggang motosikal ini bermula dari Putrajaya ke Banting dan kemudian pulang semula ke Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd.

Perkara utama yang selalu dikaitkan dengan skuter adalah praktikaliti. Melihat kepada Kawasaki J300, markah tinggi dapat diberikan pada aspek ini dengan adanya kelengkapan seperti ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh dan barangan lain, tangki minyak 13 liter, soket pengecas 12 volt berserta tempat simpanan kecil di panel hadapan dan operasi yang mudah.

Tetapi apa yang lebih menarik perhatian wakil media yang menyertai sesi tunggang uji ini adalah keselesaan yang ditawarkan oleh Kawasaki J300, hasil kombinasi beberapa aspek.

Pertamanya tempat duduk. Selain bersaiz lebar dan besar, tempat duduk J300 mempunyai kontur bertepatan dengan bahagian sokongan di belakang penunggang manakala bahan yang digunakan pula cukup lembut membuatkan penulis begitu selesa duduk di atasnya. Tidak keterlaluan, penulis beranggapan ini adalah tempat duduk yang paling selesa pernah di rasa pada sebuah motosikal standard dari kilang.

Seterusnya adalah kualiti tunggangan dan tetapan suspensi. Bagi yang tidak biasa, jalan di sekitar Banting mempunyai permukaan yang tidak rata mungkin kerana tanah yang lembut dan lori yang banyak melaluinya. Ada bahagian, anda boleh ‘terbang’, sama ada menaiki motosikal ataupun kenderaan lain.

Bagaimanapun, semasa menaiki skuter Kawasaki J300 ini, keadaannya tidak menyakitkan bagi penunggang kerana suspensi bertindak baik menyerap hentakan dan kualiti tunggangannya juga agak bagus.  Ini seterusnya menerbitkan rasa yakin buat penulis untuk berseronok bersama skuter ini sambil menikmati sedikit ‘waktu di udara’ dan mencondongkan motosikal untuk mengambil selekoh.

Berkenaan kuasa enjin, 27.2hp yang mampu dihasilkan oleh J300 sudah mencukupi untuk kegunaan biasa. Malah ia juga bolah dipacu dengan mudah apabila ingin memotong kebanyakan kenderaan lain di atas jalan raya. Cuma menggunakan transmisi CVT, anda tidak boleh menjangkakan ia akan sampai cepat tetapi tarikannya masih terasa. Di atas lebuh raya, penulis dapati Kawasaki J300 mampu mencecah kelajuan sehingga 160 kilometer sejam dengan keadaan badan dan tunggangannya masih lagi meyakinkan dan tidak banyak gegaran. Cuma, sekiranya penghadang angin hadapan lebih tinggi, ia mungkin lebih baik bagi penunggang.

Aspek keselamatan juga tidak dilupakan bagi penunggang, di mana sistem brek yang menghasilkan kuasa henti mencukupi pada J300 ini turut ditambah baik dengan sistem ABS. Dari pengalaman penulis, cengkaman yang terhasil cukup baik, apatah lagi ia disokong oleh set tayar Maxxis yang berkualiti.

Sekiranya anda mencari motosikal yang sentiasa senang, selesa dan luas untuk ditunggang, Kawasaki J300 ini mungkin adalah jawapannya. Walaupun harganya sedikit tinggi daripada model pesaing lain, anda dapat menikmati jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer perbatuan.


--- SINAR HARIAN