Thursday, 6 November 2014

Suzuki GSR750: Tunggangan dan penggayaan dinamik


 
Motosikal naked dengan gaya street-fighter ini bergaya dan elegan dengan lekuk badan.
 
SELEPAS pengenalan empat buah motosikal berkuasa tinggi Hayabusa, GSX1250FA, GSX-R1000 ABS dan V-Strom 1000 ABS Mac lalu, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd (SAM) kembali lagi dengan sebuah model yang sentiasa dinantikan dalam segmen naked bike iaitu Suzuki GSR750. Tidak perlu lagi ditanya mengapa. Kerana model dari Jepun itu memenuhi keinginan anda dalam mencapai adrenalin.

Campuran moden dan futuristik menjadikan GSR750 kelihatan sporty. Motosikal berkenaan digerakkan enjin DOHC 749cc 4-silinder.

Menerusi kapasiti berkenaan, GSR750 mampu menghasilkan kuasa maksimum 78kW pada 10,000rpm dan tork setinggi 80Nm pada 9000rpm. Penghantaran kuasa ke roda dibantu oleh transmisi 6-kelajuan.

Menurut pihak Suzuki juga, model tersebut dapat memuaskan kehendak pengguna menerusi pecutan yang teguh pada putaran rpm rendah kepada pertengahan.

Bagi menghentikan jentera itu, pihak Suzuki memilih brek depan dwi-cakera berukuran 310 milimeter (mm) dengan dua kaliper dan bahagian belakang berukuran 240mm bersama kaliper tunggal. Model itu turut dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS).

Menyentuh aspek reka bentuk, motosikal naked dengan gaya street-fighter itu memang terkesan bergaya dan elegan dengan lekuk badan yang futuristik dan garang. Secara fizikal, pelindung badan dan rekaan GSR 750 masih sama dengan versi sebelumnya.

Perbezaan yang dilihat pada rekaan striping badannya sahaja. Kehadiran peredam bunyi berbentuk segi tiga dengan keluli tahan karat menambahkan imej berani GSR750.

Selain itu, rekaan takometer yang lebih besar dan speedometer LCD digital memudahkan penglihatan penunggang. Turut disertakan ialah informasi purata kelajuan, penggunaan bahan api, indikator bahan api, odometer dan meter perjalanan.

Menurut Pengarah Urusan SAM, Toru Kobayashi model itu sudah berada di pasaran yang mana kumpulan pertama di bawa masuk sebanyak 30 unit.

Model import dari Jepun itu ditawarkan dengan pilihan warna Putih Mutiara Glasier/ Biru Triton Metalik dan Hitam Metalik Mat. Suzuki GSR750 jenis standard ditawarkan pada harga jualan asas RM53,888.

Sementara itu, Kobayashi juga turut memberitahu SAM merancang untuk membawa masuk lima model baharu tahun hadapan iaitu GLADIUS ABS (SFV650 / A), V-Strom 650 ABS, V-Strom 650XT ABS, GSX-S1000 ABS dan GSX-S1000F ABS.


--- SINAR HARIAN