Lazada Malaysia

Wednesday, 3 September 2014

Skuter berkuasa tinggi


 


SEJAUH mana ketahanan anda menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam trafik bandar yang sibuk? Kadangkala disebabkan minat dan kadangkala ego dengan pemilikan motosikal berkuasa tinggi, pengguna sanggup menghadapi jerih payah, letih dan sakit badan melayan trafik kota yang tak pernah kosong.

Sejak dahulu lagi saya bersetuju untuk mengatakan penggunaan motosikal bertransmisi automatik atau lebih dikenali sebagai skuter lebih praktikal untuk digunakan sebagai kenderaan harian dalam bandar.

Sejak akhir-akhir ini, pengguna skuter semakin bertambah dan model berkapasiti besar semakin mendapat tempat dalam pasaran tanah air. Terima kasih kepada kemurahan hati Hong Leong Yamaha Sdn Bhd memberi kepercayaan kepada saya untuk merasai kehebatan Yamaha T-Max.

Menunggang T-Max tidak sukar untuk menarik perhatian orang sekeliling. Rekaan badan yang memiliki karakter jentera supersports lebih menyerlah dengan skim warna Yamaha Racing Team selain faktor deruan bunyi enjin hampir-hampir menyamai jentera berkuasa tinggi empat silinder.

Yamaha T-Max dikuasakan enjin 530cc yang menawarkan 46 kuasa kuda dan 52.3Nm tork. Sebelum ini, model lama T-Max menggunakan enjin 499cc.

Versi baharu menerima beberapa peningkatan mekanikal untuk menghasilkan jumlah tork yang lebih tinggi dengan saiz gerek dari 66 milimeter (mm) ke 68mm, penggunaan omboh aluminium tempaan, penyuntik bahan api YZF-R6, profil camshaft baharu dan injap pengambilan yang lebih besar.

Penyampaian kuasa enjin disempurnakan transmisi automatik CVT melalui tali sawat. Keseluruhan kualiti mekanikal enjin sememangnya wajar diberi pujian dan amat berpadanan dengan harga yang ditawarkan.

Proses penghidupan enjin adalah sama seperti mana-mana skuter lain. Sejurus enjin dihidupkan dan pendikit dipulas, daya pecutan amat memberangsangkan dan bergerak dengan lancar di sepanjang perjalanan.

Kuasa enjin dapat dirasakan hasil respons daripada pulasan pendikit saat jarum takometer mencecah 4,000 rpm.

Bergerak melalui kawasan trafik sibuk, saya perlu berhati-hati ketika mencelah di antara kenderaan lain kerana badan T-Max agak panjang berbanding motosikal lain.

Tahap pengendalian T-Max cukup cemerlang walaupun memiliki jumlah berat badan yang agak tinggi.

Maklum balas dari bahagian hadapan adalah berbeza dan tidak setepat motosikal supersports kerana posisi enjin skuter adalah berbeza. Akan tetapi, rekaan yang ergonomik T-Max membolehkan pengubahan arah dengan cepat dan tangkas.

Pengendalian T-Max cukup meyakinkan ketika melalui kawasan berliku dan anda tidak perlu khuatir sekiranya anda cukup bernafsu tinggi untuk melayan selekoh.

Pelana yang ditawarkan pula selesa dan kedudukan tunggangan lebih santai. Begitu juga dengan ruang tempat duduk penumpang belakang, selesa dan tidak terdapat isu dan rungutan. Di bawah pelana pula, ruang simpan yang disediakan cukup luas untuk memuatkan sebuah topi keledar muka penuh.

Melalui lebuh raya, saya tidak tertekan dengan arus angin kuat dalam kelajuan tinggi. Pengadang angin dan bentuk skuter yang aerodinamik sedikit sebanyak membantu kelancaran perjalanan saya.

Bergerak dalam kelajuan sekitar 170 kilometer sejam (km/j), Yamaha T-Max masih kekal stabil di atas casis aluminium dan lengan ayun aluminium yang bersambung kepada roda 15 inci.

Sistem brek yang dipadankan pula memadai dengan berat dan kemampuan pecutan jentera automatik ini. Brek cakera berkembar pada roda hadapan dan cakera tunggal di bahagian belakang mendapat sokongan sistem ABS untuk jaminan keselamatan.

Seperti kebanyakan skuter-maxi lain, T-Max turut memperoleh kemudahan brek parkir.

Saya menyimpulkan Yamaha T-Max menawarkan kepuasan kepada pemiliknya. Rekaan moden, pakej prestasi dan kualiti binaan tidak perlu diragui.

Namun, faktor harga mungkin menjadi sekatan kepada pemilikan skuter ini. Setakat ini, Yamaha T-Max hanya boleh didapati melalui pengimport bebas.


FILLER:

SPESIFIKASI YAMAHA T-MAX
Enjin: 530cc, 2-silinder sebaris, 4-lejang sejukan cecair DOHC
Transmisi: Automatik CVT, V-Belt
Kuasa maksimum: 46hp @ 6,750rpm
Tork maksimum: 52.3Nm @ 5,250rpm
Harga: Sekitar RM65,000


--- SINAR HARIAN