Thursday, 31 July 2014

Yamaha MT-09


 

SEJAK awal tahun lagi, ramai yang sibuk bertanya perihal produk generasi baharu Yamaha MT-09. Akhirnya, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan MT-09 yang diimport sepenuhnya (CBU) pada tag harga RM54,000.

Hadir dengan tagline ‘The Dark Side of Japan’, jentera berkuasa 847cc tersebut ditawarkan pada harga yang boleh dikatakan murah walaupun ia diimport dari Jepun.

Jika dilihat daripada bentuk fizikalnya, jentera ini mempunyai binaan yang kukuh di samping perwatakan yang agresif. Pasti ramai yang tidak menganggap ia merupakan mesin buatan Jepun, dan ia adalah benar-benar berbeza daripada rangkaian produk Yamaha.

Model yang turut dikenali sebagai FZ-09 di Amerika Syarikat ini mempunyai berat basah 188 kilogram (kg), lebih ringan daripada jentera naked Kawasaki Z800 sebanyak 41kg dan lebih berat 5kg daripada jentera naked terbaik Triumph, Street Triple 675.

Ternyata usaha Yamaha berjaya untuk mengurangkan berat keseluruhan motosikal dengan menggunakan casis aluminium, roda aluminium dan penggunaan omboh aluminium tempaan.

Dari sudut kelengkapan elektronik, MT-09 tidak dibekalkan dengan pelbagai alat elektronik kompleks kecuali pendikit Ride-by-Wire (RbW) dan tiga mod tunggangan ringkas. Duduk di atas motosikal, perkara pertama yang saya sedari ialah kedudukan tunggangan dan sudut capaian hendal yang relaks.

Memperoleh kunci daripada pihak Yamaha, sedikit kelainan pada tempat pencucuhan di mana ia terletak di sebalik panel meter digital.

Yamaha MT-09 dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris yang mempunyai sesaran 847cc.

Selepas klac dilepaskan, MT-09 seakan-akan tidak sabar untuk bertindak agresif. Pendikit RbW menawarkan tindak balas serta merta walaupun dalam mod Standard.

Bagi kesesuaian penggunaan dalam bandar, saya menggunakan mod B. Penghantaran kuasa dikurangkan dan lebih konsisten pada awal bukaan pendikit.

Sejurus berasa yakin dan dapat menyesuaikan diri dengan kawalan pendikit, saya beransur semula kepada mod Standard. Selepas keseronokan hadir di atas pelana motosikal ini, perubahan kepada mod A lebih menyeronokkan dengan penawaran kuasa yang lebih mantap.

Setiap kali bukaan pendikit, saya dapat menikmati penyebaran tork yang sangat luas. Kuasa daripada enjin lebih daripada apa yang diperlukan dan dalam kebanyakan masa, saya hanya menggunakan gear empat dan lima sahaja.

Ketika tunggangan di lebuh raya dalam kelajuan sekitar 170 kilometer sejam (km/j), saya melepaskan pendikit dan membukanya semula pada kitaran enjin rendah. Walaupun berada pada kedudukan gear keenam, kuasa enjin masih kuat untuk menarik motosikal ke hadapan.

Tahap pengendalian MT-09 boleh dibanggakan dengan ketepatan kawalan hendal, tangkas dan nisbah berat badan kepada kuasa yang baik.

Kedudukan tunggangan yang tegak dengan bar hendal luas turut membantu pengendalian motosikal untuk menukar arah serta masuk ke dalam dan keluar dari sudut selekoh.

Brek cakera terapung 298 milimeter (mm) dan kaliper empat piston pada roda hadapan cukup meyakinkan di sepanjang tunggang uji ini.

Dengan tiga pilihan warna menarik; Deep Armor, Blazing Orange dan Matt Grey, Yamaha MT-09 adalah sebuah motosikal yang menawarkan gaya baharu dan keseronokan tunggangan. Bagi saya, prestasi kuasa dan keupayaan pengendalian menjadikan ia sebuah pemilikan yang cukup berbaloi.


--- SINAR HARIAN