Lazada Malaysia

Thursday, 27 March 2014

Suzuki V-Strom 1000


 
Reka bentuk tipikal gaya touring.

PERKEMBANGAN industri motosikal dalam negara dilihat semakin berkembang ke arah yang lebih positif. Persaingan yang lebih kompetitif akan mempengaruhi penawaran harga dalam pasaran.

Dalam mikroekonomi, tawaran dan permintaan adalah satu model ekonomi penentuan harga dalam pasaran. Model ini menyimpulkan bahawa harga produk tertentu akan berbeza-beza sehingga ia berada pada satu titik keseimbangan di antara harga dan kuantiti tawaran dalam pasaran yang kompetitif.

Melihat dari sudut pasaran domestik, motosikal yang bersaing dalam kategori touring semakin bertambah. Antara model yang popular ialah Kawasaki Versys, Ducati Multistrada dan BMW GS.

Mula mendapat perhatian ialah Aprilia Caponord, Triumph Tiger dan juga Moto Guzzi Stelvio.

Setelah sekian lama tanpa model baharu dalam pasaran global kecuali dalam segmen supersports akibat kegawatan ekonomi global, firma dari Jepun ini kembali untuk bersaing dalam pengeluaran motosikal.

Pengedar jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Assemblers Sdn Bhd juga menerima manfaat daripada kebangkitan Suzuki untuk membawa beberapa model motosikal berkuasa tinggi termasuklah jentera touring V-Strom.

Jentera V-Strom 1000 yang sebelum ini mempunyai masalah peraturan tahap pelepasan emisi menerima pelbagai perubahan dan penambahbaikan untuk meningkatkan daya saing secara global. Lengkap dengan madgat roda berparuh di bahagian hadapan, profil tinggi motosikal dan roda hadapan 19 inci adalah penampilan tipikal motosikal touring.

Seperti model sebelumnya, generasi baharu V-Strom 1000 dikuasakan oleh enjin V-berkembar sejukan cecair. Kapasiti enjin dinaikkan daripada 996cc kepada 1,037 cc di samping beberapa perubahan mekanikal termasuklah kepala silinder dan aci engkol.

Kuasa maksimum jentera ini meningkat kepada 99 kuasa kuda berbanding 97 kuasa kuda daripada model sebelumnya. Walaupun hanya memiliki perbezaan 2 unit kuasa kuda sahaja, generasi terbaharu diperbaiki dari segi prestasi pada kitaran enjin rendah. Keseluruhan kuasa enjin pula dipindahkan melalui kotak gear enam kelajuan.

Suzuki telah mengemas-kini semula rekaan casis dengan menggunakan bingkai aluminium twin-spar baharu yang lebih ringan dan lebih utuh daripada casis yang digunakan pada V-Strom generasi sebelumnya.

Casis yang digunakan disambungkan kepada lengan ayun yang lebih panjang untuk menjamin aspek kestabilan motosikal.

Suzuki V-Strom 1000 ABS dilengkapi dengan sistem brek angkup empat omboh Tokico monobloc di bahagian hadapan dan disokong oleh sistem ABS. Suzuki juga menggabungkan sistem elektronik kawalan cengkaman untuk mendapatkan prestasi keupayaan pengendalian yang lebih baik di atas permukaan jalan yang licin.

Namun begitu, V-Strom 1000 tidak direka untuk melalui laluan off-road. Mungkin sedikit kekurangan untuk bersaing hebat di sisi BMW R1200GS dan KTM 990 SMT. Berkenaan soal harga, berkemungkinan besar V-Strom 1000 akan dijual bermula pada RM79,999 (harga anggaran).


Filler:
Spesifikasi V-Strom 1000
Enjin: 1037cc V-Twin DOHC
Transmisi: 6-kelajuan
Kuasa maksimum: 99 hp @ 8000 rom
Tork maksimum: 103 Nm @ 4000 rpm
Harga: RM79,999 (harga anggaran)


--- SINAR HARIAN