Lazada Malaysia

Wednesday, 8 January 2014

Kawasaki Z1000



 
Reka bentuk tangki lebih seksi
 
SELEPAS hangat dengan model Z800, Kawasaki memperkenalkan model naked kapasiti kecil Z250 dalam pasaran tempatan. Namun begitu, sambutan kepada Z250 agak hambar, di tambah dengan beberapa pilihan yang mungkin lebih berbaloi kepada nilai pemilikan.

Beberapa bulan lalu, terdapat khabar angin tersebar berkenaan model terbaharu Kawasaki Z1000 yang bakal menaikkan semula reputasi pengeluar Jepun dalam pasaran global.

Selepas dipertontonkan di pameran EICMA, akhirnya gambar dan spesifikasi rasmi Z1000 mula tersebar luas dalam laman sesawang.

Di beberapa buah negara Eropah, jentera berkenaan sudah pun mula diuji, malah ada beberapa buah negara yang akan melancarkan model tersebut pada awal tahun ini.

Berikutan daripada itu, ia menunjukkan satu kemungkinan bahawa model tersebut akan dibawa ke tanah air tidak lama lagi. Menurut sumber yang boleh dipercayai, Malaysia juga termasuk dalam senarai sebagai negara yang akan melancarkan jentera streetfighter tersebut selewat-lewatnya hujung Januari ini.

Barisan model Z sebenarnya sudah mula mencipta nama sejak 40 tahun yang lalu. Pada tahun 1972, Kawasaki memperkenalkan siri pertama Z dengan model Z1 yang mempunyai kapasiti enjin 900cc. Pelbagai pembaharuan dibangunkan sehinggalah pada tahun 2009, Kawasaki memperkenal Z1000 yang mendapat perhatian luar biasa dengan rekaan agresif berserta pakej prestasi.

Pelancaran Z1000 2014 ini dikatakan bakal melonjak semula pengeluar dinamik dari Jepun itu. Walaupun begitu, usaha Kawasaki mendapat tentangan hebat daripada beberapa pencabar baharu dalam segmen super-naked seperti BMW S1000R, Ducati Monster 1200 dan KTM Super Duke 1290R yang baru sahaja dilancarkan.

Imej Z1000 baharu telah disemak semula dan reka bentuk baharu tampak lebih garang dengan konsep ‘Sugomi’ - gaya seperti pemangsa. Rekaan muncung hadapan tajam dengan bentuk sarang lampu utama yang menjunam ke hadapan membuatkan ia berkarakter dan tampil lebih agresif.

Jentera berkenaan menggunakan enjin Ninja ZX10R, akan tetapi ia telah diubah daripada segi pengaturan enjin dan nisbah gear. Enjin berkapasiti 1043cc dengan bingkai aluminium tersebut mempunyai kuasa sebanyak 140 kuasa kuda (104.5 kW) pada 10,000 rpm dan tork maksimum 110 Nm pada 7,300 rpm.

Z1000 menggunakan kotak gear enam kelajuan dan mempunyai kapasiti bahan bakar sebanyak 17 liter. Jentera ini memperoleh sistem transmisi baharu yang boleh menyediakan respons yang lebih cepat.
Ratio gear telah dipendekkan dan penggunaan gear keenam direka khas untuk mengekalkan keselesaan tunggangan di lebuh raya. Ia dilengkapi dengan angkup Tokico monobloc berserta cakera brek kelopak trademark Kawasaki dan disokong oleh pam ABS untuk melengkapkan sistem brek jentera ini.

Brek belakang angkup tunggal dengan cakera 250 milimeter (mm) juga disokong oleh sistem ABS untuk hasil daya hentian lebih efektif.

Enjin empat silinder sebaris DOHC 16 injap ini juga mendapat sistem pengurusan enjin elektronik baharu untuk memberikan kuasa pada julat pertengahan dan akhir yang lebih sempurna.
Z1000 baharu juga menerima fork Showa ringan boleh laras - Showa Separate Function – Big Piston Fork (SFF-BP) bagi mendapatkan pengendalian terbaik kepada prestasi tinggi enjin motosikal.

Jentera ini dipadankan dengan rim sport aluminium baharu untuk menampilkan gaya yang lebih sporty di samping menyumbang kapada aspek prestasi pengendalian lebih optimum.
Z1000 turut menerima set instrumen gabungan analog dan digital yang memaparkan takometer dan pelbagai informasi tetapan mod tunggangan.  Kawasaki Z1000 dipadankan dengan lampu utama LED sepenuhnya dan ia merupakan inovasi terbaharu pengeluar motosikal terbesar Jepun itu.

Berkemungkinan besar, seperti mana model Z1000 sebelum ini, ia akan dibawa ke tanah air sebagai unit dipasang siap (CBU). Nantikan maklumat lanjut berkenaan model ini dalam keluaran yang akan datang.


--- SINAR HARIAN