Wednesday, 27 February 2013

Kawasaki Z800 dinanti peminat naked tanah air

Kawasaki Z800 2013 merupakan model paling hangat diperkatakan oleh penggemar motosikal berkuasa besar tempatan dan ia merupakan model terbaharu dari Kawasaki yang berada dalam keluarga Z.
Sepanjang 40 tahun, generasi Z dibina berdasarkan maklum balas dari pelumba motosikal berkuasa tinggi bagi memastikan hasilnya menepati cita rasa pengguna semasa.

Kawasaki Z800 merupakan kesinambungan dari model Z750 yang mana model ini dinaik taraf kapasiti enjin kepada 806cc. Penambahan jumlah sesaran sekitar 58cc lebih dari model Z750, turut mempengaruhi kuasa yang memberikan keupayaan sekitar 113hp pada putaran enjin 10,200 rpm.

Menarik mengenai model ini ialah pereka model ini mengadunkan huruf ‘Z’ pada rekaan sulung, sekali gus menjelaskan jentera ini cukup ikonik dalam keluarga Kawasaki.

Beberapa aspek yang tertera huruf ‘Z’ adalah pada lampu belakang, tangki minyak dan pelana tempat duduk penunggang. Turut diberi penekanan pada aspek lain adalah rupa bentuk yang cukup teliti demi menghasilkan penampilan agresif.

Bagi menguji keupayaan Z800, saya berkesempatan menguji jentera terbaharu Kawasaki ini dari ibu kota ke Kuantan melalui lebuh raya Karak meliputi jarak sejauh 269 kilometer. Bagi melancarkan perjalanan, saya mengisi minyak penuh di salah sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan.

Ketika itu, saya sempat berkenalan dengan empat bikerz yang kebetulan turut selesai mengisi minyak motosikal masing-masing. Mereka memperkenalkan diri sebagai Lah, Dafi dan Fazil yang menunggang jentera Kawasaki ER6n dan ER6f manakala Ikmal model touring BMW. Mereka bercadang untuk mendaki Genting Hinglands.

Banyak juga persoalan yang ditanya mengenai motosikal ini termasuk harganya yang jelas tidak mampu mereka elakkan. “Aku tunggu habis bayar motor aku, baru sambar model ini,” ujar Dafi yang jelas kelihatan geram dengan kelibat jentera yang saya bawa.

Ikmal yang mengetuai rakannya itu turut mengapi-apikan semangat tiga sahabatnya dengan menyifatkan jentera Z800 adalah yang terbaik dan sesuai untuk bajet kaki motor sederhana. “Aku dah cuba model Z800 ini,  memang senang dibawa dan mesra pengguna." 

Saya tersenyum mendengar bualan mereka tanpa mendedahkan status saya kerana ingin mendengar pendapat jujur dan ikhlas daripada peminat di luar sana. Menerusi perbualan itu, saya dapati kelibat Z800 sebenarnya cukup dinanti ramai peminat tanah air.

Bukan sahaja dari segi faktor harganya, malah reka bentuk, prestasi enjin malah lampu belakang berbentuk Z kerap kali diperkatakan keempat-empat mereka. Berbalik kepada sesi tunggang uji yang penulis lakukan, penulis tertarik dengan kuasa tork yang jelas turut dipertingkatkan bagi menghasilkan keupayaan sekitar 83Nm pada putaran enjin 8,000 rpm.

Jika dinilai pada data ini, jelas sekali keupayaan Z800 melebihi model Z750 terdahulu dari segi keupayaan pecutan awal dan kelajuan maksimum tetapi jurang tidaklah terlalu besar.

Pada tunggang uji itu juga turut membuktikan model Z800 masih mudah untuk dikendalikan walaupun tenaga dan kapasiti enjin bertambah, saya menyifatkan model ini cukup sesuai bagi semua peringkat golongan penunggang.

Untuk mereka yang masih tercari-cari motosikal pertama terutama yang mahu menceburi dunia motosikal berkuasa tinggi, saya beranggapan Z800 boleh dianggap antara pilihan terbaik.

Walaupun tidak menawarkan kuasa pecutan sehebat sama seperti motosikal versi sport, ia tetap relevan untuk perjalanan jauh. Cuma penunggang terpaksa menahan tamparan angin yang kencang. Begitu pun, secara purata hantaran kuasa adalah lancar dan selesa.

Seiring dengan peningkatan kuasa pada Z800, sistem brek turut dipertingkatkan dengan menambah saiz cakera brek kepada 310mm. Walaupun saiznya cuma lebih 10mm dari model Z750 ia cukup penting bagi memastikan keselamatan penunggang.

Jelas sekali, sepanjang perjalanan sekitar jalan bandaran mahupun di atas lebuh raya yang saya lalui, daya tarikan tuil brek menggunakan jari hanya bersahaja dan ini membuktikan sistem brek cukup serasi.

Turut dibantu ialah peningkatan sistem suspensi belakang yang membenarkan pengguna melakukan penyelarasan mengikut keperluan mereka. Setiap kali melayan selekoh lebuh raya Karak, Z800 akan mengikut dengan mudah dan stabil.

Dari segi fizikal, Z800 tampak berat tetapi ia cukup ringan bila dikendalikan dan posisi menunggang mudah serasi tanpa perlu banyak bergerak.

Imej sebenar Kawasaki Z800 sebenarnya terletak pada reka bentuk lampu dan kowl yang memberikan gaya agresif. Reka bentuk panel instrumen turut diperbaharui yang mempunyai pelbagai fungsi pada skrin LCD dan takometer bagi menzahirkan penampilan yang lebih garang.

Model sulung Z800 yang dibawa oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd merupakan jentera pemasangan tempatan (CKD) Asean yang dipasang di Thailand pada harga yang  mengejutkan.

Untuk jentera berkuasa sebegitu besar, harganya sekitar RM48,000 (tidak termasuk insurans) boleh dianggap cukup mengujakan bagi kaki-kaki motor. Terdapat dua warna pilihan iaitu hijau dan putih serta kaki motor yang berminat bolehlah melihat secara dekat di bilik pameran Kawasaki atau pengedar sah di seluruh negara.


--- SINAR HARIAN